jump to navigation

Kerjaya Juruterbang – Impian Di 'Awan Biru'? 6 October 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

Oleh Elizabeth Majaham

KOTA KINABALU, 6 Okt(Bernama) — Semasa di bangku sekolah, ramai yang bercita-cita menjadikan juruterbang sebagai kerjaya tetapi ini bukannya sesuatu yang mudah.

Jika calon tidak mempunyai ketinggian sekurang-kurangnya lima kaki tiga inci dan gagal mendapatkan gred yang baik bagi mata pelajaran Sains, Matermatik dan Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cita-cita ini hanya akan tinggal impian.

Satu aspek lagi yang boleh ‘merencat’ harapan adalah kos tinggi yang diperlukan. Jumlah bayaran serta yuran boleh mencecah RM240,000 termasuklah bayaran untuk buku serta penginapan.

Dan ini hanya untuk kursus lesen asas juruterbang komersil dengan penarafan instrumen.

Tetapi jika seseorang itu mampu dari segi kewangan, maka segala usaha untuk menjadi seorang juruterbang adalah ‘berbaloi’.

Menurut laporan Business Times baru-baru ini, dalam masa 20 tahun dari 2010, syarikat penerbangan di seluruh dunia memerlukan 49,900 juruterbang setahun dengan perkembangan syarikat mereka.

Perjalanan udara di Asia telah menjadi satu industri yang berkembang pesat terutama bagi negara China dan India yang mempunyai satu bilion penduduk berpendapatan sederhana.

Menurut laporan itu juga, syarikat penerbangan yang tidak teragak-agak mengambil kesempatan dari kerancakan industri ini ialah Asia Pacific Airlines yang dijangka memperoleh 8,000 pesawat bernilai AS$1.2 trilion dalam jangkamasa 20 tahun lagi.

Tetapi persoalannya ialah siapakah yang akan menerbangkan pesawat-pesawat ini nanti?

Asia Tenggara, di antara rantau yang giat berkembang bagi pasaran penerbangan komersil dunia, dikatakan mengalami kekurangan juruterbang yang akut semenjak tahun 2007.

Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) mempunyai 2,700 juruterbang manakala Ketua Pegawai Eksikutif syarikat penerbangan tambang murah Air Asia Berhad Datuk Tony Fernandez telah mengakui rantau ini memerlukan 1,000 juruterbang dalam 20 tahun yang akan datang.

INSPIRASI

Untuk mendapatkan inspirasi, dengarlah apa yang diperkatakan oleh orang yang telah ‘mencapai’ impiannya.

Kapten Wan Khair, 45, memulakan kerjayanya di awan biru dengan menjadi pramugara bersama MAS pada tahun 1988. Kini beliau mengepalai operasi ATR (Avions de Transport Regional) Maswings di Sabah.

“Saya sangat teringin menjadi juruterbang. Keluarga saya bukan dari orang yang berada. Jadi bila saya mula bertugas dengan MAS, saya juga mula menyimpan”, kata beliau kepada Bernama.

Akhirnya beliau berjaya menjadi juruterbang pada tahun 2001. Latihan untuk menjadi juruterbang ketika itu menelan kos sebanyak RM220,000.

“Saya buat pinjaman bank RM100,000. Selebihnya datang dari duit simpanan yang saya laburkan dalam saham dan sebahagian merupakan sumbangan dari keluarga”, kata beliau.

Menurut Kapten Wan Khair cara alternatif untuk menjadi juruterbang ialah dengan memohon kursus kadet juruterbang MAS.

“Tetapi perlulah bersedia untuk menerima terma dan syarat. Terma-terma dan dan syarat-syarat tersebut memang ketat,” beliau memberikan amaran.

Kursus juruterbang adalah selama 14 bulan tetapi biasanya ia akan berlanjutan kerana beberapa faktor yang tidak dijangka dan mengizinkan seperti cuaca buruk dalam latihan penerbangan.

Dalam lima tahun pertama kerjayanya sebagai juruterbang, Kapten Wan Khair menerbangkan pesawat Turbo Otter (yang bergantung kepada kuasa propeler atau kipas) bagi Perkhidmatan Udara Pendalaman MAS. Kemudian beliau diberi peluang menerbangkan pesawat Boeing 737 yang berkuasa jet bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.

Beliau kemudian ‘berpindah’ kepada MASWings, anak syarikat MAS yang memberi khidmat penerbangan di Sabah dan Sarawak.

“Bila saja diberi tawaran oleh MAS untuk berpindah dan berkhidmat dengan MASwings, saya tidak teragak-agak menerimanya walaupun terpaksa kembali kepada kapalterbang yang menggunakan kuasa propeler (kipas) kerana saya mempunyai pengalaman mengendalikan pesawat tersebut ketika bersama MAS.

“Kapalterbang ini (yang menggunakan kipas) adalah kecil dan juruterbang dapat melihat penumpang mereka. Boleh nampak mereka turun dan pergi. Boleh senyum dan lambai pada satu sama lain. Biasanya mereka penumpang tetap seperti pekerja di Ladang Temanggong, Lahad Datu yang mempunyai lapang terbang persendirian. Mereka adalah penumpang berulang ke Sandakan”, kata beliau.

PEMANDANGAN INDAH

“Kemudian anda akan menjadi biasa dengan mereka. Anda lebih peka dengan sekeliling. Ianya satu keadaan yang menyenangkan. Saya suka terbang di kawasan ini kerana saya dapat melihat keindahan alam sekeliling”, cerita Kapten Wan Khair tentang pengalamannya.

Pada Januari 2009, Kapten Wan Khair memulakan latihan pengendalian ATR 72-500, yang juga merupakan pesawat menggunakan kuasa propeler.

Katanya perbezaan antara pesawat Twin Otter dan kapalterbang ATR adalah kapalterbang ATR terbang lebih maju dan terbang dengan lebih laju serta menggunakan teknolgi digital.

Sebagai juruterbang pesawat, Pegawai Kelas Dua menerima gaji pokok antara RM4,200 dan RM5,600 sebulan manakala Pegawai Kelas Pertama pula menerima antara RM6,000 dan RM10,000 sebulan. Bagi mereka yang berpangkat kapten pula, gaji pokok adalah antara RM9,000 dan RM17,500 sebulan.

Pengerusi MAS Tan Sri Dr Munir Abdul Majid menyatakan, semasa majlis pelancaran pesawat ATR 72-500 yang bernama Libaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu April lepas, hanya 700 daripada juruterbang MAS adalah dari Sabah dan Sarawak. Hanya 60 berkhidmat dengan MASWings.

Dr Munir juga berkata MAS sedang meneliti potensi pasaran perjalanan udara di rantau BIMP-EAGA yang mempunyai 62 juta penduduk.

Terdapat dua sekolah latihan juruterbang di Malaysia – Akademi Penerbangan Malaysia di Melaka dan Akademi AirAsia di Terminal Penerbangan Kos Rendah di Kuala Lumpur.

Sementara itu sebahagian daripada tugas Kapten Wan Khair adalah melatih juruterbang ATR.

“Tetapi saya juga terus belajar tentang memperoleh pengetahuan dan latihan baru.

“Pesawat ATR adalah baru bagi saya walaupun saya mempunyai pengalaman terbang terutama dari segi keyakinan diri. Saya tidak khuatir tentang keselamatan ATR, tetapi kita juga perlu bersedia bagi apa-apa kemungkinan”, kata beliau.

JAM PENERBANGAN

Katanya seorang juruterbang hanya dibenarkan terbang 900 jam dalam sebulan bagi mengelakkan risiko kemalangan yang disebabkan faktor manusia terutama keletihan.

“Kami memang dikawal oleh peraturan ini. Ianya baik kerana kadangkala kami fikir kami mampu terbang walaupun selama 1,000 jam.

“Ianya merupakan juga satu peraturan penting bagi juruterbang untuk tidak minum minuman beralkohol 10 jam sebelum terbang”, kata Kapten Wan Khair yang telah mendirikan rumahtangga dan punya empat cahayamata berumur sntara 16 bulan dan 13 tahun.

Sumber:  BERNAMA