jump to navigation

675 Graduan Dipilih Sertai Program Tingkat Kemahiran Kejuruteraan 18 July 2011

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) — Seramai 675 graduan berpeluang mendalami kepakaran dalam bidang kejuruteraan apabila terpilih bagi menyertai program Technology Specialist in Specific Domain Expertise (TeSSDE) yang dianjurkan Kumpulan Industri-Kerajaan untuk Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

Pengurus Besar MIGHT-METEOR Advanced Manufacturing Sdn Bhd Mahasuria Idris berkata mereka merupakan antara 6,000 yang memohon untuk mengikuti program tersebut yang diwujudkan bagi melahir tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

“Pada masa ini, wujud jurang yang besar antara industri dan universiti. Apabila graduan memasuki industri, pengetahuan mereka masih pada tahap asas, tiada kepakaran, mereka perlu banyak belajar.

“Menerusi program ini kami melatih dan memantau mereka untuk menjadi pakar dalam perkara tertentu dan apabila syarikat mengambil mereka bekerja, mereka sudah mahir,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program TeSSDE, di sini pada Isnin.

Katanya, graduan yang terpilih diberikan kursus dan latihan yang akan membolehkan mereka memperoleh kemahiran dalam pelbagai bidang kejuruteraan yang mereka ceburi sekaligus menjamin kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.

Katanya, program itu juga diharap dapat memenuhi keperluan negara yang memerlukan sekurang-kurangnya 38 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan status negara maju.

“Pada tahun 2010, hanya 29 peratus dari tenaga kerja di Malaysia merupakan berkemahiran tinggi berbanding 38 peratus yang diperlukan berdasarkan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD). Kita harap dengan program ini kita dapat kurangkan gap itu,” katanya.

Bagi graduan yang terpilih menyertai program itu, mereka menganggap ia sebagai batu loncatan yang akan membantu mereka untuk berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Seorang daripada peserta, Nor Azliza Mohd Ali, 23, merasakan program itu mampu memberikan pengetahuan dan pengalaman yang mendalam dalam bidang kejuruteraan sekaligus memberikan keyakinan kepadanya sebelum mendapatkan peluang pekerjaan.

“Selalunya peluang graduan untuk mendapat pekerjaan selepas tamat belajar bukan mudah kerana tiada pengalaman. Tapi dengan adanya program seperti ini pengalaman yang ditimba mampu menjadi bekalan untuk mencari pekerjaan selepas tamat program ini,” katanya.

Mohd Norazhar Nordin, 25, pula berkata program tersebut membolehkannya untuk lebih fokus terhadap sesuatu bidang dan akan menjadikannya lebih memahami dan pakar dalam bidang tersebut.

“Dalam program ini peserta akan dikoordinasi oleh mereka yang pakar dan berpengalaman dalam sesuatu bidang kejuruteraan dan ini memang akan membantu saya meningkatkan kemahiran,” katanya.

Program TeSSDE juga bertujuan mewujudkan kerjasama tiga pihak antara universiti, kerajaan dan industri dalam membentuk graduan berkaliber menawarkan 16 kursus kepada graduan yang layak antaranya Kejuruteraan Reka Bentuk, Kejuruteraan dan Pembangunan Produk, Minyak dan Gas, Reka Bentuk Senibina Laut dan Avionik Aeroangkasa.

Peserta akan menjalani kursus dalam kelas selama empat bulan sebelum diserap dalam industri untuk latihan kemahiran teknikal selama lapan bulan.

Sumber:  BERNAMA