jump to navigation

Boeing Unjur Ramai Juruterbang Diperlukan Di Asia Pasifik 20 September 2011

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) — Boeing mengunjurkan rantau Asia Pasifik akan memerlukan beratus ribu juruterbang penerbangan dan juruteknik komersil baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang bagi menyokong permodenan kumpulan syarikat penerbangan serta pertumbuhan pesat perjalanan udara.

Unjuran Juruterbang dan Juruteknik Boeing 2011 menunjukkan 182,300 juruterbang dan 247,400 juruteknik baharu diperlukan di Asia Pasifik sehingga 2030.

Keperluan paling tinggi ialah China, yang memerlukan 72,700 juruterbang dan 108,300 juruteknik dalam tempoh 20 tahun akan datang, kata Boeing dalam satu kenyataan dari Hong Kong pada Isnin.

“Permintaan untuk pegawai penerbangan sangat ketara hari ini. Di Asia, kita sudahpun melihat beberapa kelewatan dan gangguan operasi berikutan kekurangan juruterbang,” kata Roei Ganzarski, Ketua Pegawai Pelanggan Boeing Flight Services.

“Bagi memastikan kejayaan industri itu berikutan permintaan untuk perjalanan yang semakin meningkat, kita perlu terus menyediakan barisan bakat pegawai penerbangan terlatih,” katanya.

Timur Laut Asia memerlukan 20,800 juruterbang dan 30,200 juruteknik dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Asia Tenggara akan memerlukan 47,100 juruterbang dan 60,600 juruteknik. Rantau Oceania pula 13,600 juruterbang dan 15,600 juruteknik dan Barat Daya Asia seramai 28,100 juruterbang dan 32,700 juruteknik.

“Sebagai sebuah industri, kita mesti menumpukan usaha untuk menarik generasi muda supaya meminati kerjaya dalam industri penerbangan. Kita bersaing untuk bakat dengan syarikat berteknologi tinggi,” kata Ganzarski.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: