jump to navigation

Belia Digalak Ceburi Kerjaya Sebagai Malim 26 July 2011

Posted by admin in kerjaya.
trackback

PELABUHAN KLANG, 26 Julai (Bernama) — Golongan belia di negara ini digalak menceburi bidang kerjaya sebagai malim (jurupandu laut) yang dilihat memainkan peranan penting dalam menjaga dan memantau perairan negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Sieu berkata kerjaya sebagai malim biasanya membabitkan belia berusia seawal 24 tahun serta menawarkan pendapatan yang boleh dianggap lumayan.

“Malim juga berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan kerana mereka berhubung dengan banyak pihak dari serata dunia yang ingin memasuki negara menerusi kawasan perairan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program ‘Port Klang Pilot Compulsory Pilotage Passage Expeditions Sealegs 2011’ di jeti Pangkalan Marin Northport di sini, pada Selasa.

Beliau berkata belia yang meminati kerjaya malim boleh mendapatkan maklumat di beberapa institusi yang menawarkan pengajian dalam bidang berkaitan maritim di negara ini seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Akademi Laut.

Sementara itu, pada sidang media yang sama Presiden Persatuan Malim-malim Pelabuhan Klang Selangor (PKSPA) Kapten Mahadhir Che Ismail berkata ketika ini PKSPA hanya mempunyai kira-kira 65 malim iaitu 35 di Pelabuhan Utara dan bakinya di Pelabuhan Barat.

Beliau berkata menerusi program yang diadakan pada hari ini, pihak PKSPA berharap agar masyarakat terutama golongan belia dapat menjadikan malim sebagai kerjaya pilihan.

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pengetahuan dan makluman kepada orang ramai tentang industri maritim berkaitan malim. Kami percaya program ini juga boleh menarik minat golongan belia menyertai industri maritim,” katanya.

Program tersebut memulakan cabaran di Dermaga 8, Northport, di sini melibatkan malim peringkat belia bawah umur 40 tahun dengan memandu bot Sealegs Amphibious.

Cabaran itu bermula dari jeti Pangkalan Marin Northport dan menuju ke Northern Pilot Boarding Ground di Pulau Angsa sebelum ke Southern Pilot Boarding Ground yang terletak di Pintu Gedung di sini.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: