jump to navigation

Kebolehpasaran Graduan Politeknik Melebihi Tanda Aras Antarabangsa 19 July 2011

Posted by admin in Akademik, kerjaya, Umum.
trackback

KULIM, 19 Julai (Bernama) — Kebolehpasaran graduan Politeknik di negara ini adalah tinggi iaitu melebihi tanda aras antarabangsa yang menetapkan 70 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sehubungan itu Politeknik akan terus diperkasakan dan ditransformasikan bagi memenuhi keperluan industri.

Politeknik juga perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak industri supaya graduannya sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan kehendak mereka, katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Ke-6 Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah Kulim (PTSB) di sini, pada Selasa.

Politeknik mempunyai peranan penting dalam memacu negara untuk mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan menjadi penyumbang modal insan berkemahiran tinggi untuk menarik pelaburan asing, katanya.

Katanya negara perlu meningkatkan tenaga kerja mahirnya sebanyak 37 peratus menjelang 2015 dan 50 peratus pada tahun 2020.

Melalui Model Baru Ekonomi, kerajaan menyasarkan 3.3 juta pekerja menjelang tahun 2020. Dari jumlah itu 1.5 juta adalah pekerja mahir dalam bidang teknikal dan vokasional manakala politeknik disasarkan menyumbangkan lebih 600,000 tenaga kerja, kata Mohamed Khaled.

Katanya kerajaan bagaimanapun tetap mentitikberatkan kebajikan pekerja supaya tidak terabai khususnya daripada segi gaji yang dibayar oleh pihak industri kepada pemegang sijil dan diploma perlulah setimpal dengan pengetahuan dan kemahiran mereka.

“Peningkatkan kemahiran secara berterusan untuk menjadi insan berkemahiran tinggi sewajarnya mendapat pulangan setimpal atau gaji yang memuaskan…kalau tidak, kita (kerajaan) perlu cari jalan mengatasinya.”

Menurutnya negara maju memerlukan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dan sebab itu pengajian teknikal sedang diarusperdanakan melalui transformasi supaya menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian.

Katanya pemodenan negara bermakna mengutamakan teknologi dan peralatan yang memerlukan orang teknikal untuk menggerakkannya dan sebab itu golongan itu perlu dibayar setimpal dengan pengetahuan dan kemahiran mereka.

Seramai 1,541 graduan daripada bidang kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrik dan perdagangan menerima sijil dan diploma mereka pada majlis konvokesyen dua hari itu bermula Isnin.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: