jump to navigation

JPA Tawar 4,000 Biasiswa Kepada Lepasan SPM 13 June 2011

Posted by admin in Akademik, Biasiswa/Pinjaman.
trackback

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) — Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menawarkan 1,500 biasiswa di bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan 2,500 biasiswa di bawah Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata seramai 882 pelajar bumiputera dan 618 pelajar bukan bumiputera mendapat biasiswa di bawah PILN.

Seramai 1,301 pelajar bumiputera dan 1,199 pelajar bukan bumiputera mendapat biasiswa di bawah PIDN tahun ini, katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Nazri berkata peruntukan 10 peratus tempat bagi kategori Bumiputera Sabah dan Sarawak masih dikekalkan dan terdapat 75 pelajar Sabah telah ditawarkan penajaan ke luar negara di bawah kategori itu.

Selain itu, beliau juga berkata pelajar Sabah turut ditawarkan penajaan ke luar negara di bawah kategori Kecemerlangan Akademik, menjadikan keseluruhan pelajar Sabah yang ditaja di bawah PILN 2011 adalah 77 orang.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan RM1.44 bilion bagi penajaan JPA tahun ini untuk lepasan SPM tahun 2010 dengan pecahan RM0.36 bilion bagi pengajian dalam negara dan RM1.08 bilion bagi pengajian luar negara,” katanya.

Nazri juga menjelaskan bahawa antara faktor yang menyebabkan ramai pelajar cemerlang tidak berjaya ditawarkan penajaan ke luar negara adalah kerana bilangan pelajar cemerlang yang semakin bertambah dan penajaan yang terhad mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

“Ramai juga pelajar cemerlang memilih bidang yang popular seperti perubatan dan kejuruteraan berbanding bidang yang kurang dipohon seperti sastera dan sains turut menyebabkan mereka gagal ditawarkan penajaan ke luar negara kerana ia mengikut keperluan guna tenaga sektor awam dan negara.

“JPA akan sentiasa mengkaji semula dan menambah baik dasar sedia ada untuk pelaksanaan pada tahun akan datang bagi menangani isu pemberian biasiswa ini yang bangkit setiap tahun,” katanya.

Nazri juga berkata kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai JPA berhubung isu pelaksanaan pemberian biasiswa kerana tiada sebarang bukti kukuh berlakunya kesilapan oleh mereka.

Beliau berkata tiada salah guna kuasa oleh pegawai JPA dalam menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang, memandangkan pelaksanaannya telah dijalankan secara telus dan teratur selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Januari 2009.

“Adalah juga menjadi dasar kerajaan untuk tidak mendedahkan senarai penerima biasiswa dan markah merit yang mereka peroleh kepada umum untuk memelihara kerahsiaan dan hak individu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) mengenai punca utama masih wujudnya masalah pemberian biasiswa dan tempat di universiti di kalangan pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Terdapat juga kekeliruan di kalangan masyarakat yang menyangka bahawa JPA turut menawarkan tempat atau kursus pengajian di samping penajaan.

“Pada hakikatnya, JPA hanya menawarkan penajaan manakala tempat atau kursus bagi pengajian di matrikulasi dan universiti dalam negara ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: