jump to navigation

Tempoh Kursus Diploma Bukan Teknikal Di Politeknik Dipendekkan 30 May 2011

Posted by admin in Akademik.
trackback

PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) — Mulai tahun ini, tempoh pengajian bagi kursus diploma bukan teknikal seperti perdagangan dan hospitaliti di politeknik di seluruh negara akan dipendekkan kepada dua hingga dua tahun setengah berbanding tiga tahun sekarang.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia sebagai salah satu tarikan kepada golongan pelajar untuk memilih institusi berkenaan sebagai alternatif melanjutkan pengajian di mana ia akan dapat menjimatkan masa dan wang mereka.

“Misalnya seperti kursus menjahit, kita berpendapat tak ada keperluan nak belajar menjahit sehingga tiga tahun. Lagi lama lagi banyak pelajar itu kena berhutang (untuk menampung kos pengajian). Kita mahu masa itu benar-benar dimanfaatkan,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Isnin.

Mohamed Khaled berkata, langkah itu dijangka akan dapat meningkatkan jumlah pelajar politeknik dalam bidang-bidang tersebut, sekaligus dapat membantu kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan mencapai sasaran politeknik bagi melahirkan 490,000 tenaga mahir berdiploma menjelang 2020.

Selain itu beliau berkata, bagi mengarusperdanakan pengajian di politeknik, pihak itu diharap dapat menjalankan kerjasama artikulasi dengan institusi pengajian tinggi swasta dalam negara, serta pusat-pusat pengajian di luar negara bagi membolehkan pelajarnya melanjutkan pengajian ke pusat-pusat tersebut.

Setakat ini katanya program artikulasi itu hanya dilaksanakan dengan empat Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), selain Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Kerajaan juga akan mengekalkan yuran politeknik yang juga merupakan antara yang termurah iaitu RM400 setahun, selain menawarkan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mereka yang layak bagi memastikan institusi itu terus menjadi pilihan, katanya.

Mohamed Khaled sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara Jabatan Pengajian Politeknik dengan pihak industri dan badan profesional iaitu Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Malaysia, Ericsson (M) Sdn Bhd, Islamic Banking and Finance Institute of Malaysia (IBFIM) dan Mesiniaga Berhad.

Beliau berkata program kolaborasi itu akan meliputi beberapa aktiviti termasuk kerjasama bagi program akademik, latihan industri bagi pelajar dan sangkutan pensyarah serta pembangunan kurikulum dalam bidang perdagangan dan elektronik yang merupakan teras kepada sistem politeknik.

“Saya berharap kerjasama ini akan dapat dilakukan secara lestari dan mapan. Pihak politeknik juga telah meningkatkan kekuatan mereka dengan menubuhkan pusat-pusat teknologi yang bertunjangkan bidang tujahan seperti Kejuruteraan Marin, Kejuruteraan Elektronik Perubatan dan Reka Bentuk Kreatif dan Industri dan saya berharap pihak industri akan dapat bekerjasama dengan politeknik untuk menjayakan pusat-pusat teknologi ini,” katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: