jump to navigation

Negara Perlu 3.3 Juta Pekerja Mahir Dalam Tempoh 10 Tahun 26 May 2011

Posted by admin in Umum.
trackback

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) — Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 3.3 juta orang pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi memenuhi keperluan industri negara.

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab berkata bagi menampung jumlah itu, kementerian menyasarkan sebanyak 160,000 atau 20 peratus penglibatan pelajar vokasional pada tahun 2015 dan 40 peratus pada tahun 2020.

“Setakat ini, Malaysia hanya mencapai lima peratus penglibatan sahaja berbanding dengan negara Austria, yang jumlah pencapaiannya paling tinggi iaitu 78 peratus,” katanya kepada pemberita selepas taklimat Galeri Siar Raya Transformasi Pendidikan Vokasional di Kuala Lumpur Sentral hari Khamis.

Katanya negara-negara serantau seperti di Indonesia dan Thailand telah mengatasi jumlah peratusan berbanding Malaysia, dengan jumlah pelajar yang mengambil aliran ini menjangkau 40 peratus hingga 60 peratus.

“Kami mensasarkan untuk membina sebanyak 122 buah sekolah vokasional awam berbanding 70 buah sekolah kini dan 90 buah sekolah vokasional swasta menerusi pelan Transformasi Pendidikan Vokasional yang bakal bermula pada tahun 2013,” katanya.

Selain itu, katanya Sekolah Menengah Vokasional bakal dikenali sebagai Kolej Vokasional bagi pelajar menengah atas menerusi pelan ini.

“Bagi menjayakan pelan ini, kami memerlukan pandangan dan input daripada pelbagai pihak supaya dapat dijadikan panduan untuk melaksanakannya,” katanya.

Galeri Siar Raya selama dua hari itu adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pihak berkepentingan tentang konsep dan hala tuju Transformasi Pendidikan Vokasional serta mendapat maklum balas, pandangan dan cadangan semua yang terlibat dalam memantapkan hala tuju pendidikan vokasional.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: