jump to navigation

10,000 Guru Teknik Dan Vokasional Menjelang 2015 16 May 2011

Posted by admin in kerjaya, Umum.
trackback

KUCHING, 16 Mei (Bernama) — Untuk memperkasa pendidikan teknik dan vokasional, Kementerian Pelajaran akan mengambil lebih 10,000 orang guru tersebut secara berperingkat-peringkat menjelang akhir 2015, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata guru vokasional dan kemahiran baru yang diikitiraf akan diambil dari pasaran terbuka seperti pusat latihan kemahiran tinggi dan universiti teknikal awam untuk memastikan pelajar mendapat pendidikan vokasional dan kemahiran yang berkualiti.

“Untuk memastikan pendidikan negara mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, maka saya telah memberi tumpuan khusus kepada program transformasi pendidikan teknik vokasional.

“Dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan untuk memperkasa pendidikan teknik dan vokasional, insyaAllah, kita akan berjaya meningkatkan peratusan pelajar aliran teknikal dan vokasional daripada 10 peratus kepada 20 peratus menjelang tahun 2015,” katanya sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-40 di sini Isnin.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mahu Kementerian Pelajaran membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja teknik dan vokasional di negeri ini.

Beliau berkata Sarawak yang membangunkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) yang berasaskan industri berat akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan berasaskan teknik dan vokasional.

“Harapan kami di Sarawak ialah kerajaan pusat dapat mewujudkan lebih banyak pendidikan teknik dan vokasional untuk melahirkan tenaga mahir untuk Score yang akan mencetus banyak peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya di luar bandar,” katanya.

Taib turut berterima kasih kepada kerajaan pusat yang telah banyak membantu untuk meningkatkan mutu pendidikan, khususnya di luar bandar Sarawak.

“Kita dapat lihat bahawa banyak projek termasuk infrastruktur telah disediakan kerajaan dalam tempoh lima tahun yang lepas,” katanya.
Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: