jump to navigation

Kajian Semula Menyeluruh Sistem Pendidikan Perlu 13 May 2011

Posted by admin in Umum.
trackback

KUALA LUMPUR, Mei 13 (Bernama) — Perbahasan hangat mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) didominasi pandangan ibu bapa yang mementingkan bahasa Inggeris dan pencinta bahasa Malaysia yang memperjuangkan kedaulatan bahasa kebangsaan.

Kedua-dua pihak menyampaikan hujah yang menarik dan adakalanya sukar diterima bagi mempertahankan pendirian masing-masing, tetapi nampaknya semangat nasionalisme dan pertimbangan politik mengatasi segala-galanya.

Jadi kedua-dua mata pelajaran akan kembali ke dalam Bahasa Malaysia bermula 2012.

PPSMI adalah satu lagi perubahan berkala dalam sistem pendidikan kita untuk menepati aspirasi baru tetapi tidak lebih daripada penyelesaian kecil berbanding satu pendekatan menyeluruh.

Jika ditinjau kembali, satu kajian semula holistik terhadap sistem pendidikan negara sepatutnya sudah lama dilakukan memandangkan kajian terakhir iaitu Laporan Rahman Talib dibuat hampir 51 tahun lepas, yang menyusuli Laporan Razak pada 1956.

Sejak laporan terakhir itu, objektif serta peranan pendidikan telah banyak berubah khasnya dari segi penekanan yang diberikan selaras dengan transformasi negara daripada sebuah negara pertanian kepada berasaskan industri.

Bagaimanapun, kini memandangkan cita-cita besar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya dan berpendapatan tinggi selain berdaya saing di peringkat global, adalah wajar bagi sistem pendidikan Malaysia dikaji semula secara menyeluruh untuk menetapkan halatuju yang seiring dengan aspirasi semasa.

ADAKAH KITA KETINGGALAN SESUATU

Bagi Tan Sri Mustafa Mansur, presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), satu sistem pendidikan yang mantap dan progresif adalah penggerak terbaik bagi transformasi Malaysia ke arah sebuah negara maju sepenuhnya dan berdaya saing global.

Bagaimanapun, memandangkan senario sekarang ini di mana majikan mendapati sukar untuk mencari pekerja yang sesuai dan kekurangan integriti dan patriotisme dalam masyarakat, matlamat transformasi pasti bukan mudah dicapai.

Bagi bekas guru ini yang kini adalah usahawan berjaya, semua ini menunjukkan kepincangan dalam sistem pendidikan kita dan oleh itu sudah tiba masa sistem pendidikan negara dikaji semula secara menyeluruh untuk menetapkan halatuju baru.

“Secara ringkas, sistem pendidikan kita perlu melalui kajian semula secara menyeluruh seperti yang dilakukan sebelum ini dalam Laporan Razak dan Rahman Talib selaras dengan aspirasi baru pucuk pimpinan negara.

“Kami di sektor industri mengambi berat akan isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan kerana kami adalah pengguna utama hasil akhir produk sistem itu,” kata Mustafa kepada Bernama.

Beliau berkata satu jawatankuasa kajian semula perlu ditubuhkan mewakili pelbagai pihak – NGO, ahli ekonomi, ahli sejarah dan sehinggakan anggota masyarakat.

Jawatankuasa ini seharusnya meneliti kesemua isu dari semua sudut termasuk meningkatkan pengetahuan dan standard bahasa Inggeris di sekolah.

“Sesuai sekali jika jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memandangkan ayah beliau adalah orang di sebalik Laporan Razak,” kata beliau.

INGGERIS LWN BAHASA MALAYSIA

Sementara PPSMI dapat membantu pelajar menguasai sains dan matematik selain meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris, bahasa kebangsaan pula masih mempunyai peranan dalam pembangunan sosial, menyatukan masyarakat majmuk selain menerapkan patriotisme.

“Kita perlu memberi penekanan pada bahasa Inggeris sementara memartabatkan Bahasa Malaysia, sebagai bahasa perpaduan.

“Ini penting melihatkan senario semasa di mana perpaduan merosot dan ramai yang mencerca tanah air tanpa segan silu di ruang siber, maka kita perlu pertingkat perpaduan dan patriotisme khasnya dalam kalangan generasi muda melalui bahasa kebangsaan.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita boleh mengetepikan bahasa Inggeris yang kini dianggap sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa pengetahuan. “Mereka di luar bandar sudahpun ketinggalan kerana bahasa Inggeris. Mereka dengan itu kehilangan satu kelebihan yang penting untuk berjaya dalam satu persekitaran yang sangat kompetitif. Mereka tidak mempunyai alternatif seperti rakan mereka di bandar yang lebih bernasib baik.

ZAMAN KEGEMILANGAN BAHASA INGGERIS

Mustafa mengenang kembali di mana Malaysia pada satu ketika dulu menjadi pilihan utama bagi mempengerusikan jawatankuasa-jawatankuasa semasa persidangan antarabangsa kerana pegawainya fasih berbahasa Inggeris.

Beliau mengeluh yang ini tidak lagi berlaku. “Sekarang, kita tidak dapat berhujah dengan baik akan pendirian kita dan menulis laporan jelas dalam bahasa Inggeris dan oleh itu kita ketinggalan dalam rundingan-rundingan dua hala dan pelbagai hala.

Sektor awam juga akan menjadi antara yang beruntung jika dapat menguasai bahasa Inggeris.

Lagipun, Malaysia mahu berubah kepada sebuah negara berpendapatan tinggi dan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam bidang seperti perbankan dan kewangan, industri dan khidmat yang bersifat global dan secara tipikal kesemuanya memerlukan penguasaan bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, bagi majikan kelemahan dalam menguasai bahasa Inggeris hanya satu daripada masalah dalam sistem pendidikan kita sekarang ini.

KEKURANGAN DALAM LATIHAN KEMAHIRAN

Mustafa juga mahukan penekanan yang lebih lagi pada pendidikan vokasional dan teknikal yang merosot sejak 2006.

Pada 2005, terdapat 72,500 penuntut dalam bidang teknikal dan vokasional tetapi bilangan mereka berkurangan secara progresif sejak 2006 dan pada 2009 bilangan penuntut itu berkurang kepada 57,782.

Bagi FMM, ini adalah satu perkara serius kerana pelaburan baru tempatan dan asing di negara bergantung kepada mereka dengan kemahiran teknikal dan vokasional.

Sekali lagi masalah ini berbalik kepada sistem pendidikan kita yang tidak lagi memberikan penekanan kepada latihan vokasional dan teknikal dan ini dapat dilihat daripada pemansuhan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM).

Pada masa yang sama masih tidak terdapat pengiktirafan yang wajar bagi mereka dengan kelulusan teknikal dan vokasional, sebagai contoh tiada pihak berkuasa untuk mengiktiraf kompetensi mereka ataupun untuk melesenkan mereka.

“Saya rasa sudah tiba masa bagi kerajaan untuk muncul dengan jadual gaji minimum mengikut tahap kemahiran vokasional.”

Mustafa juga berkata tanggapan semasa masyarakat juga perlu diubah bahawa mereka yang tercicir daripada alam persekolahan sahaja yang menyertai latihan vokasional. Mereka mungkin tidak sedar yang di negara-negara seperti Australia, seorang tukang paip boleh terima bayaran sama seperti seorang doktor kerana pengiktirafan bagi kemahiran.

Oleh itu satu kajian semula yang holistik ke atas sistem pendidikan kita boleh membantu menampilkan penyelesaian terhadap kepincangan semasa dan mencapai matlamat masa depan, yang juga boleh menjadi sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Laporan Khas Oleh Ravichandran D.J Paul


Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: