jump to navigation

Pembekuan Hanya Bagi Pembukaan Fakulti Perubatan Baru 8 May 2011

Posted by admin in Akademik, Umum.
trackback

COPENHAGEN, 8 Mei (Bernama) — Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan keputusan melaksanakan moratorium atau pembekuan itu hanya dibuat terhadap pembukaan fakulti perubatan baru di institusi pengajian tinggi (IPT) dan bukannya dalam soal pengambilan pelajar baru dalam bidang perubatan.

Moratorium itu akan dilaksanakan mulai 1 Mei tahun ini sehingga 30 April 2016.

“Kekeliruan yang mengatakan kita tak akan ambil pelajar perubatan tidak betul, yang tidak dibenarkan (ialah pembukaan) sekolah perubatan baru. Ia juga tidak libatkan soal penghantaran pelajar luar negara,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan penuntut Malaysia di Denmark di sini Sabtu.

Beliau berada di ibu negara Denmark ini untuk menghadiri Persidangan Menteri-menteri Pelajaran Asia-Eropah (ASEMME). Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi penghormatan untuk berucap pada sesi plenari persidangan itu pada Isnin.

Mohamed Khaled berkata langkah pelaksanaan moratorium itu tidak akan menjejaskan bilangan pegawai perubatan yang diperlukan negara kerana pengambilan pelajar di IPT yang menawarkan program perubatan sedia ada mampu melahirkan bilangan pegawai perubatan yang mencukupi.

Pada masa ini terdapat 33 IPT menawarkan program perubatan, 10 daripadanya adalah institusi pengajian awam dan selebihnya swasta, yang diyakini berkeupayaan menjana nisbah seorang pegawai perubatan bagi 400 penduduk (1:400)pada 2020, katanya.

Ditanya sama ada terdapat IPT yang memohon untuk menubuhkan fakulti baru untuk program perubatan, beliau berkata kementerian tidak menerima permohonan baru untuk membuka fakulti perubatan.

“Tidak ramai yang tunggu (untuk memohon), sekurang-kurang tidak perlu mana-mana universiti cuba nak mohon fakulti perubatan, 33 sudah mencukupi,” katanya.

Mohamed Khaled juga menjelaskan bahawa moratorium itu dilaksanakan bagi membolehkan usaha meningkatkan kualiti pengajian di fakulti perubatan sedia ada dapat dipertingkatkan bagi melahirkan pegawai perubatan yang berkualiti.

Katanya kualiti pegawai perubatan yang menjalani latihan umpamanya boleh terjejas ekoran “kesesakan” pegawai perubatan yang menjalani latihan di hospital-hospital memandangkan bilangan yang kini menjalani penempatan latihan itu semakin meningkat.

Selain itu, katanya, fakuti perubatan sedia ada juga berhadapan dengan masalah mendapatkan tenaga pengajar berkualiti.

“Dengan adanya moratorium, dapatlah kita beri tumpuan untuk tingkatkan kualiti sekolah-sekolah perubatan sedia ada.

“Masa moratorium inilah usaha dapat dilakukan untuk meningkatkan kualiti sekolah-sekolah, kurikulum, peralatan dan sebagainya,” katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: