jump to navigation

MUET Ditawarkan Sebanyak Tiga Kali Setahun Mulai Tahun Depan 21 February 2011

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) — Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan menawarkan ujian Malaysian University English Test (MUET) sebanyak tiga kali setahun mulai tahun depan.

Pengerusi MPM Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata bilangan sesi ujian ini ditambah bagi menampung keperluan dan permintaan pelanggan yang semakin bertambah setiap tahun.

“Peningkatan kepada bilangan pelanggan menunjukkan petanda yang baik terhadap keperluan MUET ini.

“Mulai tahun depan, sesi ujian dijalankan pada Mac, Julai dan November berbanding sebelum ini sebanyak dua sesi pada April dan November sahaja,” katanya kepada pemberita ketika pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan MUET 2010, di sini Isnin.

Seramai 94,117 calon menduduki MUET pada akhir tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 13.15 peratus berbanding jumlah calon MUET pertengahan tahun iaitu sebanyak 81,743 calon.

Beliau berkata secara keseluruhan, prestasi calon MUET akhir tahun telah meningkat sebanyak 46.02 peratus calon, mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding dengan 33.87 peratus pada MUET pertengahan tahun lepas.

Pada majlis hari ini, dua pelajar cemerlang MUET pertengahan dan akhir tahun lepas turut diberikan ganjaran iaitu Lim Yi Wen dari Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) Ipoh dan Ding Choon Ken dari Universiti Multimedia (B), Cyberjaya. Kedua-dua pelajar ini mendapat keputusan Band 6 dalam peperiksaan MUET 2010.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: