jump to navigation

Peruntukan Biasiswa Sukan Ditambah 7 February 2011

Posted by admin in Biasiswa/Pinjaman, Sukan.
trackback

PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) — Kementerian Pengajian Tinggi menambah peruntukan biasiswa sukan kementerian itu daripada RM5 juta kepada RM10 juta tahun ini dalam usaha meningkatkan penyertaan mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang sukan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bahawa pada masa ini, kementerian menaja 391 orang atlet dari institusi pengajian tinggi termasuk 129 orang atlet negara dan pelapis menerusi biasiswa itu.

“Penambahan itu akan membolehkan tambahan penajaan untuk 100 hingga 150 atlet lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Sukan KPT di sini Isnin.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan hadiah kecemerlangan sukan berjumlah RM420,000 kepada atlet daripada IPT yang telah meraih pingat pada Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Universiti Asean tahun lepas.

Antara penerima hadiah itu ialah atlet renang Daniel Bego dan Khoo Chai Lin, atlet wushu Chai Fong Yi, atlet menembak Bibiana Ng dan atlet karate-do L Kunasilan.

Mohamed Khaled berkata bagi menjaga kebajikan atlet IPT, kementerian sedang mengkaji untuk mewujudkan skim perlindungan insurans untuk mereka.

“Hal ini akan kita putuskan dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Pada majlis yang sama, Mohamed Khaled berkata 66 pasukan mewakili institusi pengajian tinggi di seluruh negara bakal berentap dalam Liga Bola Sepak IPT 2011 mulai awal bulan depan dan berkahir hujung tahun ini.

Kejohanan itu, yang diperkenalkan tahun lepas, dibahagikan kepada dua divisyen dan tujuh zon bagi pusingan kelayakan.

Mohamed Khaled berkata hampir 4,000 orang mahasiswa akan terlibat sama ada sebagai pemain, pengurus pasukan atau sukarelawan dalam kejohanan merebut Piala Menteri Pengajian Tinggi itu.

Tahun lepas, Universiti Teknologi Mara muncul juara.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: