jump to navigation

Kerajaan Jepun Tawar Biasiswa Untuk Kursus Pengajian Jepun, Latihan Guru 21 January 2011

Posted by admin in Akademik, Biasiswa/Pinjaman.
trackback

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) — Rakyat Malaysia yang berminat melanjutkan pelajaran dalam pengajian Jepun dan latihan perguruan di negara itu dipelawa memohon biasiswa Kerajaan Jepun, yang dibuka sekarang sehingga 1 Mac.

Menurut Kedutaan Jepun dalam satu kenyataan di sini, biasiswa kerajaan Jepun atau Monbukagakusho (MEXT) bagi kursus bukan ijazah selama setahun dalam pengajian Jepun ditawarkan kepada siswazah tahun kedua dan ketiga di universiti tempatan, dengan pengkhususan utama dalam bahasa Jepun atau budaya Jepun.

Pemohon mestilah berusia antara 18 hingga 29 tahun pada 1 April 2011 dan fasih dalam bahasa Jepun.

Mereka yang layak akan diberikan elaun 125,000 Yen (kira-kira RM4,600) dan tiket penerbangan pergi dan balik, serta pengecualian pembayaran yuran kemasukan peperiksaan, matrikulasi dan yuran pengajian bagi kursus selama setahun yang akan bermula Oktober ini.

Mereka yang berminat boleh melayari http://www.my.emb-japan.go.jp//English/JIS/education/scholarship/scholarship.htm atau menghubungi 03-21772600 sambungan 157 atau 146 untuk maklumat lanjut. Permohonan mesti dikemukakan di kedutaan sebelum 4 petang 1 Mac, menurut kenyataan itu.

Kedutaan itu menyatakan bahawa kursus pengajian bukan ijazah selama 18 bulan bagi biasiswa latihan perguruan terbuka kepada siswazah universiti awam dan institusi perguruan yang sedang mengajar di sekolah rendah, menengah dan petugas akademik di Institusi Perguruan dengan pengalaman lima tahun dalam perkhidmatan.

Pemohon mesti berumur bawah 35 tahun pada 1 April dan mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris serta ingin mempelajari bahasa Jepun.

Permohonan mestilah dilakukan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan butiran lanjut boleh diperoleh di laman web http://www.jpa.gov.my/ atau menghubungi Puan Noor Zahrina Abdul Samad di 03-8885 3555.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: