jump to navigation

Golongan Muda Diseru Ambil Kursus Penerbangan Dan Aeroangkasa 30 December 2010

Posted by admin in Akademik, kerjaya.
trackback

BANGI, 30 Dis (Bernama) — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menyeru golongan muda agar mengambil kursus berkaitan penerbangan dan aeroangkasa – bidang yang mempunyai permintaan tinggi dan menawarkan gaji lumayan.

Beliau berkata, pada masa ini institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini hanya menghasilkan kira-kira 250 pelajar bidang itu setahun, sedangkan permintaan terhadap graduan bidang itu di rantau ini mencapai 1,000 orang.

“Ada hanya kira-kira sedozen universiti menawarkan kursus sedemikian di rantau ini dan separuh darinya di Malaysia. Ini menyebabkan lulusan di bidang ini begitu dicari-cari.

“Ini adalah profesion masa depan dan golongan muda harus bercita-cita memiliki profesion tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Pengurusan Penerbangan (AMC) yang pertama di sini Khamis.

Saifuddin berkata pada masa ini hanya enam IPTA di negara ini iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menawarkan kursus tersebut.

Beliau berkata bagi meningkatkan jumlah graduan bidang itu, kesemua IPTA yang menawarkan kursus tersebut diminta untuk menjalinkan kerjasama untuk berkongsi peralatan dan kelengkapan kursus.

“Jika kelengkapan boleh dikongsi, maka barangkali kita boleh tingkatkan jumlah graduan lebih sekali ganda,” katanya.

Saifuddin berkata kerjasama itu telah dimulakan awal tahun ini dan maklum balas yang diterima amat positif.

IPTS juga dipelawa menawarkan kursus tersebut, dan kementerian akan memberi tumpuan dan bantuan sewajarnya kepada mereka, katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: