jump to navigation

Sejarah Dijadikan Mata Pelajaran Tambahan SPMU Mulai 2014 16 December 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — Mata pelajaran Sejarah akan diperkenal dalam Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) mulai tahun 2014, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini bagi memberi peluang kepada murid memperbaiki keputusan dan berupaya memperolehi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ketika ini SPMU hanya ditawarkan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik sahaja,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam pada persidangan Dewan Negara di sini, pada Khamis.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata format peperiksaan dan pentaksiran ke atas murid juga akan direka bentuk semula untuk lebih memotivasikan mereka ke arah mempelajari dan menghayati sejarah terutamanya sejarah tanah air.

“Oleh itu, beberapa pendekatan yang bersesuaian berkaitan mata pelajaran Sejarah bagi calon SPM pada tahun 2013 akan diteliti supaya tidak lagi terkongkong dengan paradigma sebelum ini.

“Ini untuk memastikan pembelajaran Sejarah mampu memberikan impak yang lebih berkesan dan tidak hanya berdasarkan kepada keputusan peperiksaan semata-mata,” jelasnya.

Pada Oktober lepas, kerajaan mengumumkan selain Bahasa Melayu, Sejarah juga akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat untuk mendapat sijil SPM bermula tahun 2013.

Muhyiddin berkata walaupun dasar wajib lulus mata pelajaran Sejarah itu bermula pada 2013, Kementerian Pelajaran akan terus menggunapakai Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang dilaksanakan pada ketika ini sehingga tahun 2017 bagi kohort murid sedia ada.

“Pun begitu, dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mulai 2014, kohort pertama untuk murid Tingkatan Satu yang menggunakan kurikulum baru mata pelajaran KSSM hanya akan mula menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2018.

“Langkah ini adalah untuk memberi ruang dan masa yang bersesuaian kepada kementerian menggubal kurikulum baru yang lebih menyeluruh dan komprehensif,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin juga berkata kementerian mewujudkan Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah bagi memastikan kurikulum yang baru digubal benar-benar memberi impak kepada pemahaman dan penghayatan sejarah.

Beliau berkata kementerian akan meneliti dan merancang dengan rapi semua aspek yang berhubung kait dengan pelaksanaan dasar itu, terutama di kalangan guru-guru yang merupakan agen pelaksanaan.

“Ini termasuk menambah dan membuat penempatan semula guru opsyen sejarah yang berpengetahuan dan berkemahiran di semua sekolah menengah. Bagi maksud itu, kementerian juga akan mewujudkan kursus Pengajian Sejarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan bekalan guru sejarah yang berkualiti dan berdedikasi sentiasa mencukupi,” katanya.

Muhyiddin berkata kementerian juga sedang meneliti untuk menambah dan mempelbagai bahan bantuan mengajar dalam bentuk bacaan dan perisian software seperti cakera padat dan video animasi peristiwa sejarah, di samping mengaktif semula bilik atau sudut sejarah.

Katanya Bantuan Perkapita (PCG) bagi mata pelajaran itu akan dikaji semula ke satu jumlah yang lebih praktikal agar dapat menampung keperluan dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah mengenai ada sesetengah pihak yang menentang langkah itu, Muhyiddin berkata kementerian akan memantau pihak-pihak berkenaan.

“Kita nak perkenal mata pelajaran sejarah yang dapat dihayati dan bangkitkan semangat patriotisme. Kita tak lihat ini sebagai perkara remeh, apa jua pandangan masyarakat kita akan ambil kira. Mungkin ada kebenaran yang perlu kita ambil kira dan perbaiki apa yang kita nak laksanakan,” katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: