jump to navigation

10 Sekolah Dipilih Sebagai Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan Amir 10 December 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

PUTRAJAYA, 10 Dis (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat mengumumkan 10 sekolah terdiri daripada sekolah berprestasi tinggi, sederhana dan lemah serta merentasi pelbagai latar belakang sosio-ekonomi sebagai Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR.

Beliau berkata Yayasan AMIR, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah memilih 10 sekolah masing-masing lima di Johor dan Sarawak sebagai projek perintis bagi program itu.

Lima sekolah di Johor ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Uda (2), SK Kampung Layau, Kota Tinggi, Sekolah Jenis Kebangsaa (Tamil) Kangkar Pulai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Felda) Semenchu, Kota Tinggi dan SMK Gelang Patah, manakala lima sekolah di Sarawak ialah Sekolah Menengah Sains Kuching, SK Kg Empila, Samarahan, SK Combine, SK Tabuan dan SMK Bandar Kuching (2).

“Projek ini adalah di peringkat awal, dan bagi mempermudahkan urusan untuk memantau sekolah yang ada dalam satu negeri, jika di seluruh negara mungkin soal pemantauan dan untuk menentukan standard, kualiti pengajaran dan pengurusan itu akan lebih sukar.

“Jadi, sebab itu, di peringkat awal ini, dipilih dua buah negeri dulu (Johor dan Sarawak),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rangkaian Sekolah Amanah Yayasan AMIR, di sini pada Jumaat.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar dan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah merangkap Pengerusi Yayasan AMIR Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Beliau berkata pemilihan Sekolah Amanah tidak hanya bertumpu kepada sekolah berprestasi tinggi tetapi turut melibatkan sekolah berprestasi sederhana dan lemah bagi tujuan meningkatkan prestasi akademik dan bukan akademik murid.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata lima daripada sekolah yang dipilih itu merupakan sekolah berprestasi rendah, tiga (sederhana) dan dua berprestasi tinggi.

Beliau berkata selain Khazanah, terdapat beberapa syarikat lain dan institusi perbankan yang berminat menyertai program itu dengan mengambil sekolah-sekolah lain sebagai Sekolah Amanah.

Ia akan dilaksanakan selepas pelaksanaan projek pertama itu yang akan dijadikan sebagai penanda aras dalam melaksanakan program berkenaan, katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: