jump to navigation

Scomi Marine Buka Kampus Marin Di PKFZ 8 December 2010

Posted by admin in Akademik, kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) — Penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Scomi Marine Bhd, memeterai perjanjian empat pihak untuk membuka kampus marin di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Perjanjian itu membabitkan Scomi Marine, Indian Maritime University (IMU), Intan Asia Sdn Bhd dan PKFZ.

IMU akan menawarkan progam akademik maritim seperti latihan, penyelidikan, kursus perundingan dan perkhidmatan di Malaysia, kata Scomi Marine dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ia berkata PKFZ dipilih memandangkan lokasinya yang ideal untuk penubuhan Kampus IMU Asia memandangkan ia menawarkan kemudahan infrastruktur dan perhubungan yang baik.

Beribu pejabat di Chennai, India Selatan, IMU ialah universiti pusat yang diwujudkan oleh Kementerian Perkapalan India, dengan kampus serantau di Mumbai, Kolkata, Visakhapatnam dan Cochin.

“Penubuhan Kampus IMU Asia merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Scomi di Malaysia.

“Hasrat kami ialah melatih golongan muda Malaysia untuk kerjaya dalam industri perkapalan. Selain itu, ia akan membantu menangani masalah pengangguran yang dihadapi oleh golongan belia (dalam negara),” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Shah Hakim Zain.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: