jump to navigation

Seni Ukiran Kayu Dapat Permintaan Tinggi Di Peringkat Antarabangsa 2 December 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA TERENGGANU, 2 Dis (Bernama) — Lebih ramai golongan muda digalak menceburi bidang seni ukiran kayu warisan Melayu yang kini semakin mendapat permintaan tinggi di peringkat global.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata minat yang ditunjukkan masyarakat antarabangsa terhadap seni ukiran kayu di negara ini membuka peluang untuk dikembangkan sebagai perusahaan yang memberi pulangan lumayan.

Menurutnya kerajaan sentiasa memberi sokongan termasuk dari segi pinjaman modal selain mempunyai agensi khusus untuk membantu memasarkan produk tempatan di luar negara seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Ada produk dan seni ukir anak watan Terengganu telah dipilih sebagai hiasan pada tingkap, anjung, pintu utama, birai tangga, dinding auditorium utama dan galeri di Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford yang merupakan antara universiti berprestij di dunia.

“Hasil kraftangan dan seni ukiran kita juga telah berada di pasaran London, termasuk di gedung beli-belah terkemuka seperti Harrods. Ini membuktikan seni ukiran Melayu mempunyai keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Ukiran Kayu dan menyampaikan sijil Program Ukiran Kayu MARA-Institut Teknologi Bandung (ITB) di sini, pada Khamis. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Usahawan MARA, Abd Rahim Abd Ghani.

Pameran ukiran kayu selama tiga hari bermula Khamis di Pusat Perdagangan Terengganu, di sini.

Hasan berkata minat golongan muda terhadap bidang ukiran kayu perlu dipupuk bagi memastikan kelangsungannya memandangkan kemahiran seni ukiran kayu kini semakin terhakis daripada masyarakat.

Sehubungan itu, katanya pihak-pihak terlibat juga perlu bergerak lebih agresif melahirkan lebih ramai pakar dan usahawan dalam bidang ukiran kayu Melayu.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: