jump to navigation

FSTEP Kerjasama Dengan Universiti Untuk Tangani Kekurangan Bakat 2 December 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) — Program Pengkayaan Bakat Sektor Kewangan (FSTEP) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memudahkan platform bagi graduan meneruskan kerjaya dalam industri perkhidmatan kewangan.

Kementerian telah memeterai MoU bagi pihak universiti awam serta 12 universiti swasta.

Menerusi MoU, universiti boleh memainkan peranan membekalkan graduan berkualiti ke FSTEP untuk program latihan teknikal satu tahunnya yang menyediakan pendedahan kepada perbankan konvensional, Islam dan pelaburan serta insurans dan takaful.

Hadir pada majlis yang diadakan di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Pengerusi Institut Bank-bank Malaysia (IBBM), Tan Sri Azman Hashim.

Dalam ucapannya, Khaled berkata MoU itu akan merealisasikan potensi bertukar-tukar pengetahuan dan membangunkan kepakaran bersama yang ada dalam lingkungan universiti dan industri perkhidmatan kewangan.

“Tidak ragu-ragu lagi yang MoU akan meningkatkan ketersediaan pekerja dan pasaran graduan baharu berkualiti dari pelbagai universiti seiring dengan objektif “pendidikan-kepada-pekerjaan”, tambahnya.

Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua pihak juga boleh menyumbang ke arah pembangunan kurikulum pendidikan yang lebih baik, meningkatkan pengalaman mengajar dan belajar, serta berkongsi dan memindahkan pengetahuan dan teknologi.

Beliau berharap yang industri perkhidmatan kewangan akan merebut peluang mendapatkan lebih ramai ahli akademik turut serta dalam menyediakan kepakaran mereka kepada industri dan begitu juga sebaliknya.

Beliau turut menggalakkan universiti meninjau skim sangkutan industri untuk kakitangan akademik menambah pengalaman, pendedahan, kemahiran dan kesedaran akan keperluan industri.

Dalam perkembangan yang sama, pakar perindustrian seharusnya dipelawa sebagai pensyarah tetamu atau penceramah untuk memberi ceramah, mengendalikan seminar dan bengkel dalam bidang-bidang berkaitan kemahiran secara kerap di universiti-universiti, tambah beliau.

FSTEP ialah projek yang digerakkan oleh industri diuruskan oleh IBBM dengan kerjasama BNM. Objektifnya untuk melatih dan menyediakan graduan berkaliber untuk mengisi institusi perkhidmatan kewangan.

Setakat ini, 683 graduan telah melengkapkan program FSTEP sejak diperkenalkan pada 2007 untuk menangani kekurangan bakat dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Daripada jumlah itu, 53 peratus pada masa ini bekerja dalam industri perkhidmatan kewangan sementara 46 peratus meneruskan karier dalam institusi bukan kewangan.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: