jump to navigation

Malaysia Menyaksikan Pengurangan Dalam Jumlah Pengangguran 1 December 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) — Malaysia mencatatkan pengurangan dalam jumlah pengangguran iaitu 364,200 pada September lepas berbanding 413,700 tahun lalu, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata ini menunjukkan satu tanda positif untuk memperbaharui kekuatan perniagaan, meningkatkan keyakian pihak yang berkepentingan dan akhirnya pemulihan ekonomi.

Dalam ucapan pada majlis penyampaian sijil K-Workers Development Initiatives (KID) di sini, katanya jumlah pengangguran meningkat kepada 3.6 peratus pada tahun lepas kepada 413,700 daripada 3.1 peratus pada 2008.

KID ialah satu inisiatif yang diilhamkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dalam usaha mewujudkan kecekapan tenaga kerja yang tinggi serta berpengetahuan Maklumat, Komunikasi dan Teknologi (ICT).

Dr Subramaniam berkata kementerian itu akan terus menyokong MDeC dalam wawasannya untuk mewujudkan 85,000 pekerjaan menjelang 2015.

“Kita menggesa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk terus mengukuhkan hubungan mereka dengan MDeC agar pelajarnya dapat memperoleh peluang pembangunan bakat yang MSC Malaysia tawarkan dan untuk majikan sektor wasta menyumbang dalam pewujudan pekerjaan,” katanya.

Dr Subramaniam berkata lebih 6,000 pelajar dan 400 pensyarah telah dilatih dan dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan berkaitan industri menerusi pelbagai Inisiatif Pembangunan K-Workers.

“Saya harap kerjasama ini akan diperluaskan dengan penyertaan dan komitmen tinggi daripada penggerak sektor swasta.”

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: