jump to navigation

UPSR: Hanya 10% ke sekolah asrama penuh 13 November 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

JOHOR BAHRU 12 Nov. – Hanya 10 peratus daripada 48,327 murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini berpeluang ke sekolah berasrama penuh (SBP) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, situasi tersebut berlaku ekoran bilangan kekosongan di SBP yang terhad berbanding jumlah murid cemerlang yang ramai.

Beliau berkata, bagaimanapun murid yang tidak berpeluang memasuki SBP tidak perlu patah semangat.

“Ini memang cabaran besar kerana 48,327 murid mendapat semua A daripada 482,334 calon yang menduduki UPSR.

“Namun, harus saya ingatkan bahawa ia bukan noktah kepada pelajar untuk mengorak kejayaan di masa akan datang biarpun bersekolah di sekolah harian,” katanya ditemui selepas melawat Sekolah Kebangsaan Bandar Uda 2 dan bertemu dengan murid cemerlang yang juga penghidap kanser, Mohd. Khairuddin Sulaiman di sini hari ini.

Sekolah yang diterajui Guru Besar, Fuziah Hasan itu merupakan salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan 91 calon mendapat 5A dalam UPSR tahun ini.

Ka Siong berkata, sekolah harian juga diberi perhatian oleh kerajaan bagi melahirkan pelajar cemerlang agar setanding dengan SBP.

Justeru, katanya, murid mampu untuk terus cemerlang sekiranya tidak belajar di SBP kerana usaha dan keazaman memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan.

“Biarpun di mana kita berada yang penting adalah kerja keras, berusaha dan jangan sesekali cepat berputus asa dengan segala dugaan. Kita semua berhak untuk berjaya.

“Malah, ibu bapa juga jangan mudah panik sekiranya anak mereka gagal memasuki SBP. Mereka juga perlu berfikiran terbuka dan menerima keputusan seadanya,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: