jump to navigation

48,327 Calon UPSR Peroleh Semua A 11 November 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

PUTRAJAYA, 11 Nov (Bernama) — Seramai 48,327 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh keputusan cemerlang semua A, meningkat kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata keputusan itu merupakan pencapaian terbaik bagi tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara.

“Syukur Alhamdulilah, peratusan calon yang berada di bawah tahap pencapaian minimum (semua D/E atau kombinasi kedua-duanya) telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini,” katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR di sini Khamis.

Bagaimanapun, kata Abdul Ghafarm, peratusan calon yang mendapat minimum gred C menurun 1.37 peratus berbanding tahun lalu.

Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan itu tahun ini.

Abdul Ghafar berkata pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang sebanyak 0.04 peratus.

“Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar,” katanya.

Abdul Ghafar berkata bilangan calon istimewa yang menduduki peperiksaan itu tahun ini bertambah 184 orang dan terdapat peningkatan 1.97 peratus bagi calon yang mendapat pencapaian baik.

Daripada segi prestasi mata pelajaran, bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), peratusan calon yang mendapat gred A bagi mata pelajaran matematik meningkat 1.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala mata pelajaran Sains yang meningkat 1.7 peratus berbanding 2009.

Abdul Ghafar berkata terdapat peningkatan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman di SK yang memperoleh Gred A iaitu sebanyak 4.5 peratus manakala prestasi Bahasa Melayu Penulisan menurun 8.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata analisis prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris SK dan SJK dibuat berasingan kerana waktu pembelajarannya dan cakupan kandungannya adalah berbeza.

Prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK dan SJK pula menunjukkan peningkatan pada Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu masing-masing sebanyak 2.74 peratus pada tahun ini (2.79 tahun lalu) dan 2.69 peratus (2.80).

GPMP adalah indeks yang digunakan untuk menunjukkan prestasi mata paelajaran iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.

Abdul Ghafar berkata bahawa tahun ini merupakan tahun kedua Ujian Aptitud atau potensi diri membabitkan pelajar Tahun 6 dilaksanakan yang keputusannya turut diambil kira sebagai satu daripada syarat pemilihan ke sekolah berasrama penuh, selain keputusan UPSR dan maklumat latar belakang calon.

Ujian itu berdasarkan dua kemahiran iaitu berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan.

Abdul Ghafar berkata keputusan ujian itu pada tahun ini menunjukkan peningkatan mendadak kecenderungan pelajar terhadap bidang sosial dan budaya serta sukan berbanding bidang teknik dan vokasional, dan akademik pada tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu bukan satu ukuran pencapaian kerana kecenderungan itu mungkin boleh berubah mengikut masa, persekitaran, pengaruh rakan sebaya dan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

“Ia hanya sebagai satu petunjuk, ia tidak mutlak. Kita akan lihat apa sebabnya dan kenapa berlaku kurangnya kecenderungan pelajar terhadap bidang akademik serta teknik dan vokasional,” katanya.

Abdul Ghafar berkata ujian itu telah berjaya mengumpul maklumat tentang minat, potensi dan kecenderungan pelajar pada akhir tahun persekolahan sekolah rendah di peringkat nasional yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dalam membentuk modal insan yang berkualiti pada masa hadapan.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: