jump to navigation

Dewan Rakyat: 700 Graduan Menganggur Lebih Tiga Tahun – Maznah 9 November 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Hanya 1.8 peratus atau 700 graduan yang menganggur melebihi tempoh tiga tahun berbanding jumlah keseluruhan yang menganggur iaitu seramai 41,500 orang, sidang Dewan Rakyat diberitahu Isnin.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata mengikut kajian Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lepas, sebanyak 2,100 atau 5.1 peratus menganggur antara satu hingga tiga tahun; 4,800 (11.6 peratus) menganggur antara enam bulan hingga setahun, manakala 12,600 (30.4 peratus) menganggur untuk tempoh tiga hingga enam bulan.

“Graduan yang menganggur kurang daripada tiga bulan pula dianggarkan seramai 21,200 atau 51.1 peratus daripada jumlah sisawazah menganggur seramai 41,500,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed (BN-Sepang) berkenaan peratus graduan tempatan yang masih belum mendapat pekerjaan selepas satu hingga lima tahun menamatkan pengajian serta punca-puncanya.

Beliau berkata kajian Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun lepas memaklumkan antara faktor utama mereka gagal mendapat pekerjaan ialah akibat kurangnya permintaan terhadap bidang pengajian yang diperoleh, kurang kemahiran berkomunikasi serta kelemahan bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris.

“Selain itu kebanyakan majikan menetapkan pengalaman bekerja sebagai salah satu syarat pengambilan, enggan berhijrah dari kampung halaman serta mengharapkan gaji yang tinggi,” kata beliau.

Sehubungan itu Maznah berkata kementerian melaksanakan pelbagai program untuk mengurangkan masalah pengangguran termasuk mengadakan pendaftaran dan penempatan pekerjaan melalui portal JobsMalaysia, kewujudan Jobs Malaysia Center dan karnival kerjaya, manakala Kementerian Pengajian Tinggi menganjurkan program Kebolehpasaran Graduan.

Dalam pada itu, Maznah berkata kebenaran bagi majikan menggaji pegawai dagang adalah bagi menarik pelaburan luar serta memenuhi kemahiran tertentu.

“Pertimbangan bagi menggaji ekspatriat hanya diberi bagi jawatan utama serta jawatan yang memerlukan kelayakan dan kemahiran yang sukar diperoleh. Syarat juga ditetapkan supaya gaji ekspatriat tidak boleh kurang dari RM5,000,” katanya.

Sehingga Ogos ini, seramai 32,058 pegawai dagang berada di negara ini, kata beliau.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: