jump to navigation

Wajibkan kepujian Sejarah bagi pengambilan pelajar di semua IPTA 7 November 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersetuju dengan langkah Universiti Teknologi Mara (UiTM) mensyaratkan kepujian dalam subjek Sejarah untuk mengikuti kursus-kursusnya mulai pengambilan Julai tahun depan dan berharap ia turut diwajibkan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, ia penting bagi memastikan penuntut baru yang mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan di universiti lebih memahami sejarah negara.

Menurutnya, mungkin langkah itu dianggap sesetengah pihak sebagai terlalu drastik, namun jika diteliti ia memberi kesan positif malah menyokong usaha menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

“Gagasan menyokong penuh syarat baru UiTM yang diumumkan Naib Canselor (Prof. Datuk Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar) untuk kemasukan penuntut pada pengambilan Julai tahun depan.

“Usaha ini perlu dicontohi IPTA lain. Kita minta Kementerian Pengajian Tinggi menjadikannya syarat untuk kemasukan pelajar ke IPTA di seluruh negara tahun depan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sahol Hamid bahawa kepujian subjek Sejarah akan menjadi salah satu syarat yang perlu ada sekiranya mahu mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan UiTM mulai pengambilan Julai tahun depan.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad juga bersetuju dengan langkah tersebut, tetapi berasakan ia perlu diperhalusi kerana bimbang timbulnya kesan negatif terhadap pengambilan penuntut ke UiTM.

”Kita bercakap tentang kepujian subjek Sejarah, bukannya lulus subjek tersebut dan saya berasakan ini akan mengambil sedikit masa.

”Mungkin pihak UiTM boleh memanjangkan masa pelaksanaan tersebut ke 2013 berbanding Julai tahun depan kerana tempoh itu terlalu singkat untuk sebarang perubahan,” jelasnya.

Bagi tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula, langkah UiTM itu wajar diikuti oleh IPTA lain kerana sudah tiba masanya generasi muda memahami sejarah negara.

Katanya, langkah tersebut membolehkan semua pelajar di setiap peringkat sekolah memberi perhatian yang lebih kepada subjek Sejarah kerana khuatir tidak dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA sekiranya tidak mendapat kepujian.

Sementara itu pensyarah Sejarah di Pusat Pengajian Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Datin Dr. Mahani Musa beranggapan langkah UiTM itu terlalu terburu-buru.

Katanya, perkara yang membabitkan perubahan perlu mengambil masa serta tidak boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat kerana ia akan memberi beban kepada para pelajar.

 

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: