jump to navigation

Mengenali Pakar Perunding Makanan – Mary Easaw John 22 October 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback


Mary Easaw-John, pakar pemakanan IJN.
Foto: Melati Mohd Ariff
Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) — Menjadi perkara lazim untuk ibu bapa menaruh harapan agar anak mereka menyandang jawatan profesional sama ada doktor, peguam, jurutera atau akauntan.

Justeru, Mary Easaw-John tidak banyak soal apabila bapanya mahukan dia menjadi doktor. Tambahan pula beliau anak sulung dan perlu menjadi contoh buat adik perempuannya.

Bapanya, P M Easaw, anak kelahiran Kerala, India berhijrah ke negara ini pada tahun 1957 selepas tamat pengajian bidang teknikal dan kejuruteraan sementara ibunya keturunan Malayalee Malaysia.

Ibu bapa Easaw-John ialah penganut agama Kristian Malayalee Syria dan amat tegas mengenai budaya, pendidikan, adat, tradisi dan agama.

“Kehidupan kami masa itu berkisar kepada apa yang ibu bapa suruh buat dan bagi kami apa yang ibu bapa suruh amat penting.

“Jadi bila ayah saya kata saya mesti jadi doktor, saya tak banyak soal.

“Ayah saya sebenarnya mahu menjadi doktor tetapi mengambil pengajian teknikal dan kejuruteraan jadi dia fikir seorang daripada anak perempuannya patut menjadi doktor,” kata Easaw-John, Ketua Dietician dan Pengurus Kanan Dietetik dan Perkhidmatan Makanan Institut Jantung Negara (IJN), kepada Bernama baru-baru ini.

SURATAN TAKDIR

Usia persekolahan menengah, dia dihantar ke India pada 1977 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

Bagaimanapun sudah suratan takdir Easaw-John tidak berjaya menjadi doktor.

Beliau menceritakan kesulitan yang dialaminya untuk mempelajari bahasa Perancis, bahasa asing kedua yang wajib diambil dan ini melambatkan proses kemasukannya ke universiti.

“Matlamat saya ialah untuk cepat-cepat habiskan pengajian saya dan balik ke tanah air. Jadi saya membuat keputusan untuk mengambil pengajian ijazah Sains, pengkhususan dalam bidang Dietetik dan Nutrisi di Kolej Wanita SIET, Universiti Madras.

“Kursus ini dua tahun setengah lebih pendek daripada jurusan perubatan.

“Bapa saya kecewa tetapi lama kelamaan dia menerima keputusan yang saya buat. Hakikatnya dia bertukar bangga apabila melihat betapa pentingnya peranan pakar diet dan sumbangannya kepada negara,” kata Easaw-John.

BANYAK YANG DIPELAJARI

Ke luar negara dalam usia muda memberi peluang keemasan untuk Easaw-John belajar berdikari. Bukan sahaja dia rindukan keluarganya, dia juga terpaksa menyesuaikan selera makanan sayuran di asrama.

Memandangkan makanan bukan pemakan sayuran mahal dan bajetnya terhad, beliau bertukar menjadi pemakan sayuran.

Bagaimanapun, menurut Easaw-John, seperkara yang sukar diterimanya ialah sistem kasta dan mahar yang diamalkan di India sehingga mempengaruhi pemikiran pelajar yang bergaul dengannya.

Tetapi belajar di India mengajar Easaw-John kelangsungan hidup, nilai dan bekerja secara pintar.

“Meski pun ketika itu saya agak mentah, saya bertuah belajar di India. Saya berpeluang melihat bagaimana golongan kasta rendah bertahan dengan kehidupan mereka, belajar dengan baik, menjadi berjaya dan ramai yang menjadi rakan baik saya.

“Dalam pendidikan tidak ada soal kasta atau kaum. Semuanya atas daya usaha individu, cara mana anda belajar, sikap terhadap orang lain dan bukan semata-mata untuk mendapatkan ijazah.

“Wanita yang menjadi rakan belajar saya amat menghormati keluarga serta pemimpin negara mereka termasuk yang berjuang untuk kemerdekaan tanah air,” katanya.

Menurut Easaw-John, wanita di India juga pencetus motivasi.

Apabila tamat pengajian dengan Kelas Pertama Kepujian pada 1982, beliau menjadi pelajar asing pertama memenangi Anugerah Fatimah Akhtar sebagai pelajar terbaik dalam bidang pembangunan kanak-kanak dan hubungan kekeluargaan.

“Anugerah ini ialah untuk usaha saya menghalang kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak dengan menukar corak pemakanan mereka serta menjadikan makanan itu snek menarik.

“Ia juga merubah persepsi pensyarah tempatan terhadap pelajar asing. Mereka menganggap pelajar asing hanya mahu berseronok dan setakat cukup-cukup makan untuk lulus peperiksaan,” jelasnya.

KARIER SEBAGAI PAKAR PEMAKANAN

Karier Easaw-John sebagai pakar pemakanan bermula dengan Hopital Pakar Johor sebelum berkhidmat dengan Selesa Health Farm di Pahang di mana beliau bekerja selama dua tahun sebelum menyertai IJN.

“Banyak yang saya pelajari di Hospital Pakar Johor dan saya bertukar kerja selepas tujuh tahun dan di sebalik tahun-tahun yang sukar, pengalaman itu mengajar saya pengurusan hospital dan perkhidmatan makanan.

“Selepas tujuh tahun, saya mahu berdekatan dengan keluarga saya yang tinggal di Seremban dan berpeluang bekerja di Selesa Health Farm di mana fokusnya menjurus kepada nutrisi pencegahan,” katanya.

Easaw-John banyak mengendalikan bengkel nutrisi pencegahan untuk organisasi korporat.

Beliau mula berkhidmat dengan IJN pada 1992 sebagai Ketua Dietetik dan Perkhidmatan Makanan.

Beliau menyifatkan pelantikannya membuka lembaran baru kerjayanya sebagai pakar pemakanan. Beliau dihantar untuk latihan lanjut mengenai pengurusan nutrisi penyakit jantung dan rehabilitasi pemindahan jantung.

Di IJN juga beliau mula membentangkan kertas kerja di luar negara, membabitkan diri dalam persatuan dietetik seberang laut dan muncul di kaca televisyen untuk program ceramah dan wawancara media.

Easaw-John turut berjaya menghasilkan beberapa buah buku, iaitu Diabetes Handbook untuk Persatuan Diabetes Johor (1989), Resipi Sihat, Pilihan Bijak untuk Kementerian Kesihatan serta Buku Masak Her World Volum 72 (Cooking Without Guilt, Aug 2004).

KERJA KERAS

Pada awal tahun karier sebagai pakar pemakanan sekitar 80-an, Easaw-John mengakui tidak melihat banyak prospek untuk kerjaya itu.

Malah bapanya sendiri turut mencabar peranannya sebagai pakar pemakanan dan secara tidak langsung cabaran itu menjadi motivasi buatnya.

Menurut Easaw-John, makanan hospital sepatutnya berkhasiat tetapi apa yang berlaku ialah sebaliknya.

Untuk menjamin pesakitnya diberi makanan berkhasiat, dia menyusun semula keseluruhan operasi perkhidmatan makanan IJN, menyediakan resipi yang sihat bersama tukang masaknya, mengajar mereka cara menyediakan resipi dan menukar menu setiap tahun.

Easaw-John berkata kepuasan pesakit terhadap makanan yang disediakan meningkat dari 60 peratus pada 1995 kepada 90 peratus pada 2004.

Beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Kanan pada 2005 selepas tujuh tahun berkhidmat.

Antara pencapaiannya ialah mendapatkan persijilan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) untuk keselamatan makanan dan menjadi Pengerusi penganjuran Persidangan 2009 American Overseas Dietetic Association (AODA).

Easaw-John dianugerah Star Dietetic Award pada 2004 dan AODA Service Award pada 2009 sebagai pengiktirafan kepada kepimpinannya.

Beliau juga membuat keputusan untuk ‘balik ke sekolah’ dan mendaftar dengan John Moores Liverpool University, United Kingdom pada 2009 untuk mengikuti program selama 18 bulan yang disifatkannya dapat membantu mengurus kerjanya dengan lebih cekap.

Berkat keazaman serta sokongan kuat suami, beliau berjaya menamatkan pengajiannya dengan memperoleh Professional Diploma in Cardiovascular and Thoracic Sciences dengan Kepujian.

KEHIDUPAN PERIBADI

Suami Easaw-John, John Gomez, seorang ahli perniagaan ialah anak saudara kepada seorang pesakitnya. Beliau berkahwin ketika usia 39 tahun dan suaminya, 43 tahun. Pasangan ini kini mempunyai seorang cahaya mata, Zulaikha Marie, 11 tahun.

Easaw-John mahu memberikan segala ilmu pengetahuan yang ada serta berkongsi pengalaman dengan petugasnya di samping memberi tunjuk ajar sebelum beliau bersara.

“Saya gembira dengan pengalaman, pencapaian serta kemajuan karier dan pada saya, belajar adalah proses sepanjang hayat dan tidak seharusnya ada noktah.

“Kini saya mahu menghabiskan lebih banyak masa dengan anak saya, mendidik dia seperti mana ibu saya membesarkan saya,” kata Easaw-John.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: