jump to navigation

Lemah Berkomunikasi Bahasa Inggeris Antara Masalah Peserta Program Angkasawan 21 October 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUCHING, 21 Okt (Bernama) — Kelemahan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris adalah antara kelemahan dikenalpasti yang sering dihadapi oleh peserta untuk melepasi fasa pertama Program Cabaran Angkasawan 1Malaysia (PCA1M) yang dilancarkan sejak 29 Mei tahun ini.

Angkasawan Negara Mejar Dr Faiz Khaleed berkata, kelemahan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris tidak bermakna penguasaan bahasa tersebut sama ada lisan atau bertulis lemah, namun lebih kepada keyakinan diri setiap peserta yang mahu melepasi fasa pertama.

“Mereka faham bahasa Inggeris tetapi menghadapi masalah untuk mengekspresi diri dalam bahasa tersebut dan pemilihan perkataan yang sesuai untuk sesuatu situasi,” katanya pada sidang akhbar sempena PCA1M peringkat negeri Sarawak di sini pada Khamis.

PCA1M memberi peluang kepada rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas merasai pengalaman menjalani proses pemilihan dan latihan menjadi angkasawan serta berpeluang melawat di Star City Russia atau Johnson Space Centre di Houston jika menjadi pemenang program realiti PCA1M.

Di Sarawak PCA1M akan diadakan di Tebingan Sungai Kuching pada Sabtu dan Ahad ini sempena dengan penganjuran Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010).

Dr Faiz berkata, kelemahan tersebut boleh menjejaskan potensi peserta tersebut yang ingin melepasi fasa kedua dan seterusnya fasa seterusnya iaitu berpeluang melawat ke pusat pelancaran roket atau kajian angkasa di Amerika Syarikat dan Rusia.

Beliau berkata di bawah program PCA1M fasa pertama iaitu kelayakan melibatkan larian 3.5km dengan peserta lelaki berlari dalam tempoh tidak lebih 25 minit manakala peserta wanita tidak lebih 30 minit.

“Selepas ujian larian peserta dikehendaki menduduki kuiz pengetahuan sains dan angkasa lepas, komunikasi dan kerja berkumpulan dan temuduga,” katanya sambil menambah dalam fasa kedua, peserta-peserta berjaya akan terlibat dalam program realiti.

Beliau berkata, hanya seorang pemenang dari program realiti tersebut akan berpeluang mengikuti pendedahan latihan angkasawan di tempat yang akan ditentukan kemudian.

Mereka yang berminat menyertai PCAIM, mestilah berumur 16 tahun ke atas, warganegara Malaysia dan sihat tubuh badan, katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: