jump to navigation

Lebih 470,000 Calon Duduki PMR Mulai Hari Ini 5 October 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) — Seramai 479,675 calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di seluruh negara mulai hari Selasa hingga Selasa depan.

Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), daripada jumlah itu, 446,896 ialah calon Sekolah Bantuan Penuh dan 5,069 dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera.

Sebanyak 11,370 calon adalah dari sekolah agama tadbiran negeri, 14,756 calon sekolah swasta, 334 calon persendirian perseorangan dan 1,250 calon dari Sekolah Agama Rakyat.

Di ibu negara, seramai 24,382 calon menduduki peperiksaan PMR di 178 pusat peperiksaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Adenan Deraman berkata daripada jumlah itu, seramai 21,726 merupakan calon dari sekolah kerajaan manakala selebihnya merupakan calon sekolah swasta.

“Seorang calon terpaksa mengambil peperiksaan di hospital kerana mengidap penyakit leukimia dan menggunakan khidmat jurubaca dan jurutulis bagi menjawab soalan,” katanya kepada Bernama.

Di JOHOR, seramai 58,534 calon menduduki PMR dan daripada jumlah itu seramai 11,325 calon adalah dari daerah Johor Baharu, Batu Pahat (7,701), Kluang (5,661), Kota Tinggi (3,341), Mersing (1,798), Muar (7,275), Pontian (3,668), Segamat (3,812), Kulai (4,912) dan Pasir Gudang (9,041).

Pengarah Pelajaran Johor Sufaat Tumin berkata selain itu lapan calon yang buta dan rabun dari Maktab Sultan Abu Bakar dan 18 calon pekak dan bisu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sutera di sini serta seorang calon rabun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen Segamat turut menduduki peperiksaan tersebut.

Di TERENGGANU, seramai 23,630 pelajar menduduki peperiksaan itu termasuk 252 orang calon swasta serta 114 orang calon dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti buta (tiga), pekak (24), spastik (empat), terencak akal (14), rabun (tiga).

Pengarah Pelajaran Terengganu Ariffin Embong berkata, terdapat juga calon yang menduduki peperiksaan itu di hospital kerana demam iaitu tiga di Hospital Sultanah Nur Zahirah, dua di Hospital Setiu dan seorang calon di Hospital Dungun.

Di KEDAH, Pengarah Pelajaran Negeri Shahidan Abdul Rahman berkata seramai 39,175 calon menduduki peperiksaan itu. Beliau berkata sebanyak 270 pusat peperiksaan telah dibuka, manakala seramai 1,109 guru pengawas telah ditugaskan sepanjang peperiksaan itu.

Di KELANTAN, seramai 36,887 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu 30,455 calon dari sekolah kerajaan manakala selebihnya merupakan calon dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta sekolah swasta dan persendirian.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan Hussain Awang berkata terdapat juga 144 calon dari kalangan OKU dan 15 orang calon dari pusat pemulihan akhlak di Machang manakala 20 orang calon lagi menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: