jump to navigation

Bidang Aeroangkasa Akan Terus Dibangunkan 5 October 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) — Kerajaan sedang merangka rancangan untuk terus memajukan bidang berkaitan sains dan teknologi aeroangkasa bagi menarik lebih ramai penyertaan golongan muda dalam penerokaan angkasa lepas, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Malaysia perlu melahirkan lebih ramai doktor, jurutera dan juru terbang dan bukan setakat saintis sahaja bagi membangunkan keupayaan penerokaan angkasa lepas.

“Aeroangkasa bukan setakat mengenai angkasawan tapi mengenai ratusan bidang sains dan teknoloi yang berkaitan dengan penerokaan aeroangkasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kongres planetri kali ke-XXIII Persatuan Penerokaan Angkasa Lepas (ASE) yang bertemakan “1Planet, 1Harapan, 1Masa Depan”, di sini, hari Selasa.

Turut hadir Angkasawan pertama negara Datuk Sheikh Muszaphar Shukor.

Lebih 65 angkasawan dan kosmonaut dari 17 negara menghadiri kongres lima hari itu, bagi membincangkan perkara-perkara berhubung masa depan penerokaan angkasa lepas bersama-sama dengan kebajikan dan kesihatan planet bumi dengan mendidik dan menggalakkan generasi muda.

Saifudin berkata satu hari komuniti akan diadakan pada 7 Okt di mana mereka yang menghadiri kongres itu akan dibawa melawat 11 universiti bagi berceramah mengenai penerokaan angkasa lepas.

“Semua universiti tempatan akan menjemput pelajar sekolah berdekatan membabitkan kira-kira 200,000 pelajar untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan,” katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: