jump to navigation

Razak School Of Government Lahirkan Kakitangan Awam Cemerlang 1 October 2010

Posted by admin in Akademik, kerjaya.
trackback

Oleh Cik Rashidah Abd Ghani

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) — Dalam banyak projek yang disebutkan oleh kerajaan, ia sentiasa menjelaskan tentang pentingnya pembangunan modal insan.

Modal insan yang terlatih, cekap, berkebolehan dan berwibawa dalam pelbagai bidang bagi tujuan mengendalikan pelbagai usaha melaksanakan projek dengan lebih cekap.

Negara memang memerlukan modal insan yang cekap kerana inilah satu-satunya sumber yang boleh mengekalkan saingan dan merangsang inovasi.

Jika tiada modal insan, sesebuah negara tidak dapat merangsang dan menggerakkan proses inovasi, kreativiti bagi mengekalkan kedudukan bersaing di kalangan negara lain.

“Untuk merealisasikan matlamat modal insan yang terlatih, cekap, berkebolehan dan berwibawa memerlukan seseorang yang mempunyai pengetahuan asas yang luas meliputi aspek ekonomi, sosiologi, psikologi, budaya di samping mengetahui kepentingan pelbagai situasi kaum dalam negara ini, barulah boleh menjadi seorang yang analitikal”, kata Dekan Razak School of Government (RSOG) Prof Madya Datuk Mohd Ibrahim Abu Bakar kepada Bernama baru-baru ini.

MAKRO DAN JANGKA PANJANG

Seandainya pengetahuan asas seseorang itu cuma dalam satu aspek sahaja ia sememangnya tidak mencukupi.

Pertimbangan-pertimbangan yang perlu dibuat oleh seseorang pegawai itu bukan setakat menyampaikan perkhidmatan atau apa-apa projek tetapi turut memikirkan kepada makro dan impak jangka panjang.

Jadi perkara-perkara ini perlu dilatih melalui sistem pengajaran yang lebih maju dan bukan setakat membaca buku.

Malahan dalam proses pembelajaran itu seseorang perlu mahir menganalisis situasi dan di kala itu akan diperkenalkan teknik-teknik mengajar yang baru umpamanya kajian kes.

Jadi inilah yang akan ditawarkan oleh Universiti Tun Razak (UniRazak) menerusi “Razak School of Government” (RSOG) yang dilancarkan baru-baru ini.

PEMBAHARUAN MENGIKUT SEMASA

Di bawah RSOG, ia berusaha membawa satu pembaharuan di mana pelajarnya bukan setakat perlu membaca malahan perlu berbincang di samping menyampaikan pendapat.

“Inilah yang saya katakan tadi kenapa Razak School of Goverment penting untuk memenuhi kehendak semasa, yang memerlukan pegawai-pegawai yang dinamik, berpengetahuan, berkebolehan dari segi inovasi, kreativiti mengubah cara bekerja untuk menepati kehendak masa kini terutama dengan karenah rakyat dan pengguna adalah sangat mencabar,” kata Ibrahim.

Masyarakat sekarang begitu berpengetahuan, faham tentang kualiti, boleh bandingkan dengan pelbagai perkhidmatan yang ada di luar negara memandangkan mereka banyak berjalan, membaca dan menonton.

Jadi sebagai perkhidmatan awam perlulah tahu bagaimana untuk menepati kehendak dan cita rasa rakyat.

“Kita nampak sekarang ini, Razak School of Goverment adalah lain daripada yang lain sebab kita rancang kursus dan rumus kurikulum melalui pendapat orang yang pernah bekerja serta berpengalaman dan bukan berasaskan kaedah akademi semata-mata”, kata beliau.

Pentadbiran awam adalah lebih daripada mengurus dan pengetahuan asas, yang memerlukan kebijaksanaan atau konvensional untuk berhadapan dengan generasi baru.

PERTAMA SEUMPAMANYA

Memang itulah matlamat di UniRazak untuk menghasilkan graduan yang berkebolehan untuk terus melaksanakan tugas dalam perkhidmatan awam melalui pendedahan kepada aspek-aspek jentera kerajaan yang rumit dari seawal tahun pertama lagi selain daripada kursus-kursus wajib.

Dan yang pentingnya di UniRazak pembelajaran di bawah RSOG dilaksanakan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dan skil dalam bahasa Inggeris akan diberi penekanan oleh kerana dalam situasi dunia sejagat sekarang ini bahasa Inggeris mesti menjadi media yang penting untuk mendapat akses kepada ilmu pengetahuan contohnya dari internet.

Sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia, RSOG berbeza daripada kursus pentadbiran awam yang diperkenalkan oleh universiti lain dari segi terdedah secara praktikal.

Ibrahim berkata, di bawah Razak School of Government selain daripada tambahan pendedahan kepada lawatan-lawatan sambil belajar ke Putrajaya dan jabatan-jabatan kerajaan, UniRazak akan memastikan pelajar jurusan ini diletakkan secara penempatan selama empat bulan pada akhir pengajian atau tahun ketiga.

Pelajar berkenaan dikehendaki melakukan praktikal dan mengamalkan apa yang dipelajari dan menghasilkan satu kerja penyelidikan setelah habis penempatan berkenaan, yang diselia bersama UniRazak dan jabatan berkenaan supaya mereka dapat melaksanakan tugas yang diberi dengan jayanya.

DIKEHENDAKI HADIR SEMINAR

Dalam hubungan ini, UniRazak dalam proses berunding dengan jabatan-jabatan kerajaan yang penting, besar dan ada impak seperti unit perancangan ekonomi, unit pelarasan perlaksanaan, MAMPU, Jabatan Perkhidamatan Awam untuk program penempatan para pelajarnya.

Ia mudah untuk dilaksanakan memandangkan jumlah pelajar jurusan ini tidak ramai kerana UniRazak mementingkan kualiti bukannya kuantiti.

“Sekarang kita ada antara 40 hingga 50 pelajar”, kata Ibrahim.

Berbeza dahulu di mana penempatan pelajar diserahkan sepenuhnya kepada jabatan kerajaan dan badan swasta tetapi sekarang UniRazak adalah sebahagian daripada sistem penilaian pelajar bagi penempatan tersebut.

Selain daripada itu, RSOG juga menghantar pelajarnya untuk mengikuti bengkel, seminar, persidangan dari semasa ke semasa.

Ini membolehkan pelajar menyertai seminar berkenaan serta memperoleh pengetahuan yang terkini.

“Itulah rancangan yang sedang kami usahakan”, kata Ibrahim.

MAHIR BERKOMUNIKASI

Kandungan pembelajaran di bawah Razak School of Government termasuk ekonomi, metodologi penyelidikan dan analisis kuantitatif.

Kalau seseorang itu tidak mahir dalam bidang metodologi, penyiasatan, dia akan kekurangan sesuatu skil untuk menganalisis fakta dan maklumat. Dengan metodologi penyelidikan dan analisis kuantitatif ia akan dapat meningkatkan lagi kaedah pengutipan data-data secara saintifik.

“Kita membuat analisis untuk mengenalpasti umpamanya perhubungan antara sesuatu fakta dengan fakta yang lain. Ini kena ada skil. Kita tidak boleh bergantung kepada maklumat dan kata orang. Macam sekarang kita kata masalah mat rempit, kata orang begini, kita kena tahu, kita kena interview, ambil sample-sample dan buat analisis”, kata Ibrahim.

Mengenai tenaga pengajar, beliau berkata, mereka terdiri daripada profesor dan malahan ada profesor yang berpengalaman tidak kurang daripada 35 tahun dalam perkhidmatan awam.

Ini mencerminkan misi UniRazak untuk menepati kehendak perkhidmatan awam.

PELUANG PEKERJAAN TERBENTANG LUAS

“Kalau kita kata Razak School of Government, tidaklah bermakna ilmu pengetahuan, kecekapan, kebolehan yang kita tanamkan diberikan kepada pelajar ini cuma cukup untuk dia bekerja dengan kerajaan. Dia akan lebih menepati kehendak banyak sektor, swasta, NGO dan separuh kerajaan, hingga menjadi ahli akademik”, kata Ibrahim.

“Jadi sekarang ini kalau cita-cita kita yang murni ini berjaya mereka ini akan menjadi graduan yang paling mahir berkomunikasi”, katanya lagi.

Ini kerana Razak School of Government akan mementingkan kemahiran berkomunikasi sebagai aset penting pelajarnya.

Mengenai peluang pekerjaan, Ibrahim berkata, graduan RSOG tidak semestinya akan bekerja terus dengan kerajaan kerana pihak swasta juga mahukan mereka yang boleh berurusan dengan pihak kerajaan.

Ibrahim yakin Razak School of Government dapat melahirkan graduan yang berintergriti dan etika kefahaman yang tinggi di samping mampu melatih seorang pengurus yang cekap untuk memenuhi kehendak semasa.
Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: