jump to navigation

Pertanian Jadi Perniagaan Tani Dalam 10 Tahun Akan Datang 21 September 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) — Sektor pertanian di negara ini akan ditukar menjadi perniagaan tani, dan bergerak ke arah model yang terangkum tetapi pada masa yang sama berpaksikan keperluan pasaran, ekonomi bidangan dan penyepaduan rantaian nilai menjelang tahun 2020.

Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pertanian disasarkan untuk meningkatkan sumbangan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM20 bilion untuk mencapai RM49 bilion menjelang 2020.

Ini akan mewujudkan 75,000 pekerjaan tambahan, kebanyakannya di kawasan luar bandar, yang tujuannya ialah meningkatkan pendapatan petani yang mengambil bahagian dalam inisiatif-inisiatif ini, sebanyak dua hingga empat kali ganda.

Perincian ini diumumkan pada Hari Terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Makmal NKEA bagi pertanian mengenal pasti 16 projek permulaan (EPP) yang akan memangkin pewujudan perniagaan dorongan pasaran, berskala industri dan berkaitan pertanian bersepadu.

Untuk mencapai cita-cita ini memerlukan pembiayan kumulatif berjumlah RM22 bilion dalam 10 tahun akan datang dengan 62 peratus disumbangkan oleh sektor swasta.

Selain itu, lima pengupaya utama diperlukan untuk menyokong pelaksanaan EPP dan peluang-peluang perniagaan, dari menyediakan insentif bagi syarikat-syarikat peneraju (untuk menukar kegiatan yang memberikan tumpuan kepada pengeluaran kecil-kecilan kepada pendekatan yang memberikan tumpuan kepada pengeluaran untuk pasaran berskala besar) untuk memperkukuh penerimaan pakai amalan pertanian yang baik, membuat perubahan kawal selia, memperkukuh logistik dan memastikan pembekalan modal insan yang mencukupi.

Sementara itu, NKEA penjagaan kesihatan bertujuan mengembangkan tiga subsektor iaitu farmaseutikal, pelancongan kesihatan dan produk teknologi perubatan.

Malaysia akan juga memajukan subsektor teknologi perubatan yang menguntungkan seperti peranti perubatan, kelengkapan diagnostik dan teknologi maklumat penjagaan kesihatan.

NKEA penjagaan kesihatan berhasrat menjana sumbangan tokokan PNK sebanyak RM35 bilion untuk mencapai RM50 bilion menjelang 2020.

Lima pengupaya utama yang perlu ada untuk memastikan sasaran boleh dicapai termasuklah mendapatkan modal insan yang sesuai, menggunakan prasarana sedia ada dengan lebih berkesan, mengubah peraturan dan dasar, mewujudkan perikatan rentas sempadan serta menyelaraskan pemasaran yang lebih tertumpu dan agresif.

NKEA penjagaan kesihatan juga bertujuan menarik sejuta pelancong kesihatan dan mengendalikan 1,000 ujian klinikal, yang kesemuanya akan mewujudkan kira-kira 181,000 pekerjaan baharu.

Makmal NKEA kesihatan mengenal pasti enam EPP — memberikan mandat insurans persendirian bagi pekerja asing, mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk meningkatkan penyelidikan, merebut peluang mengeksport generik, merancakkan semula pelancongan kesihatan melalui penambah baikan pengalaman pelanggan, perikatan proaktif dan pemasaran khusus, mewujudkan neksus perkhidmatan diagnostik untuk mencapai skala dalam teleperubatan bagi penyumberan luar di peringkat antarabangsa serta membangunkan metropolis kesihatan: kampus bagi penjagaan kesihatan dan biosains, kemudian nanti.

Sektor penjagaan kesihatan akan memerlukan dana kumulatif berjumlah RM23 bilion dari 2011 hingga 2020 untuk membiayai pertumbuhannya.

Hanya satu peratus daripada jumlah ini merupakan dana awam, manakala 99 peratus selebihnya akan dibiayai oleh sektor swasta.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: