jump to navigation

India Tawar Kursus Undang-undang Penerbangan Di Malaysia 17 September 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

Oleh P.Vijian

NEW DELHI, 17 Sept (Bernama) — Sebuah institusi undang-undang ulung di Hyderabad, India memilih Malaysia sebagai pasaran luar negaranya yang utama untuk memperkenalkan kursus undang-undang penerbangan yang semakin popular pada masa ini.

Rancangan Akademi Kebangsaan Pengajian Undang-undang dan Penyelidikan (Nalsar), Universiti Undang-Undang, terletak di negeri Andhra Pradesh iaitu di bahagian selatan India, itu kini semakin menampakkan hasil apabila pegawai-pegawai terbabit kini memperkemaskan butiran awal.

Ketua Jabatan Undang-undang Udara dan Angkasa Nalsar, Prof V. Balakista Reddy memberitahu Bernama rancangan tersebut kini dalam proses untuk mengadakan kursus ijazah lanjutan di luar negara iaitu di Malaysia dan Jerman.

“Industri penerbangan semakin berkembang, kedua-dua sektor iaitu lapangan terbang dan syarikat penerbangan semakin pesat membangun. Terdapat keperluan yang meningkat untuk mengadakan kursus tersebut di negara seperti Malaysia. Kami merancang untuk mengadakan kursus ijazah lanjutan di sana,” katanya.

Dalam perancangan adalah ijazah lanjutan Diploma Undang-undang Penerbangan dan Kursus Pengurusan Pengangkutan Udara yang semakin popular di kalangan profesional dalam syarikat penerbangan, lapangan terbang dan industri aeroangkasa.

Universiti tersebut yang ditubuhkan pada 1998, merupakan pakar dalam pendidikan undang-undang yang menggalakkan kajian dalam semua bidang berkaitan undang-undang, disenarai sebagai universiti undang-undang pertama di India dalam tinjauan yang dijalankan pada 2008.

Nalsar mempunyai pelajar dan perjanjian pertukaran fakulti dengan universiti terkemuka dan institusi pengajian tinggi di seluruh dunia berkaitan pendidikan penerbangan.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: