jump to navigation

Biasiswa Fujitsu 24 August 2010

Posted by admin in Biasiswa/Pinjaman.
trackback

BIASISWA Fujitsu yang diperkenalkan sejak 25 tahun lalu sudah dimanfaatkan 380 pelajar seluruh dunia dengan 32 daripada mereka adalah graduan Malaysia.

Semua graduan berkenaan berjaya meneruskan pengajian di Institut Pengurusan dan Sains Jepun-Amerika (JAIMS) dalam bidang perniagaan dan pengurusan yang dilihat sebagai usaha memantapkan kerjaya sedia ada.

JAIMS menerusi program intensif tiga bulan iaitu Program Kepemimpinan Ilmu Timur-Barat (EWKLP) yang diperkenalkan dua tahun lalu terus menjadi tumpuan golongan profesional.

Presiden Fujitsu Malaysia Sdn Bhd, Charles Lew, berkata kemudahan itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporatnya dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada generasi muda.

Usaha murni itu kata beliau, dapat meningkatkan kemahiran kepemimpinan dan pengurusan dalam kalangan profesional semua sektor pekerjaan.

Inisiatif ini membantu pekerja dari Asia Pasifik menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau menerusi jaringan perniagaan global, nilai dan budaya berbeza seperti dilaksanakan menerusi EWKLP.

Program juga mendedahkan peserta dengan pelbagai kemahiran termasuk perundingan, undang-undang perniagaan, pengurusan pemasaran global dan strategi pengurusan.
Etika dan kepemimpinan juga diterapkan oleh tenaga pengajar berkelayakan dan berpengalaman, katanya pada sidang media di Cyberjaya, baru-baru ini.

Charles berkata, peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan sosio budaya berpeluang berbincang mengenai pengurusan dan mencari penyelesaian berbeza mengikut perspektif masing-masing.

Graduan JAIMS, Kok Wah Moi, 47, berkata banyak pengetahuan diperoleh sepanjang mengikuti program EWKLP selain meningkatkan jaringan kenalan daripada peserta pelbagai negara.

Katanya, sepanjang tempoh pengajian, dia didedahkan kepada sistem pengurusan yang lebih liberal serta pelaksanaan terbaik dalam pengurusan sesebuah organisasi.

Seorang lagi graduan, Rajasoorian Gothandapani, 37, berkata peluang mengikuti program itu memberi pengalaman hebat dalam hidup dan dia didedahkan dengan latihan bertaraf global.

Program ini membolehkan saya mengetahui kelemahan diri dan mengenal pasti kekuatan untuk menjadi seorang pengurus yang lebih cekap selain meningkatkan kemahiran komunikasi rentas budaya, katanya.

Program ditaja sepenuhnya menerusi Biasiswa Fujitsu bernilai RM37,600 bagi tempoh tiga bulan pengajian. Mereka yang berminat boleh layari laman webnya di www.fujitsu.com/scholarship untuk maklumat lanjut sebelum tarikh tutup 30 September depan.

Sumber: Berita Harian
oleh : Hazwan Faisal Mohamad

%d bloggers like this: