jump to navigation

Bersedia Berubah Untuk Capai Kemajuan Pelajaran 17 August 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

Oleh Siti Zubaidah Abdullah

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) — Keupayaan dan kesediaan warga pendidik untuk berubah adalah langkah awal ke arah mencapai kemajuan besar dalam sistem pendidikan yang merupakan satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

NKRA pendidikan menjadi landasan dan titik permulaan dalam usaha menambah baik prestasi pelajar dalam sistem pendidikan peringkat sekolah secara menyeluruh, serta membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Namun begitu, bagi menjayakan segala perubahan, warga pendidik memerlukan pengorbanan menyahut segala cabaran mengikut setiap perancangan dalam institusi pendidikan negara di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata kesediaan warga pendidik untuk berubah dan berani menyahut cabaran baru serta menangani masalah di sekolah boleh membawa kejayaan kepada setiap perancangan dalam RMK10.

“Guru mesti lebih dari anak-anak murid mereka (dari semua segi) dan tidak boleh menganggap jika mereka telah mengajar subjek Bahasa Inggeris selama 30 tahun mereka tidak perlu belajar menggunakan komputer kerana cara pembelajaran di kalangan murid dahulu dan kini jauh berbeza”, kata Noor Rezan.

PENDEKATAN BARU

“Sekiranya dahulu kita berjaya mendidik murid menggunakan pendekatan lama tetapi sekarang cara lain seperti kalau kita tidak pandai komputer mesti belajar komputer kerana budak-budak sekarang lebih pandai dan banyak yang tahu komputer berbanding kita,” katanya kepada Bernama dalam satu temuramah eksklusif di pejabatnya di sini.

Beliau berkata sehubungan itu, guru perlu bersedia untuk berubah memandangkan faktor penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sangat membantu pendidik untuk meningkatkan tahap pengajaran dalam kelas.

“Guru mesti terbuka minda dan ingat bahawa anak murid zaman kini lebih bijak mengenai internet dan oleh itu memberikan nota menerusi papan hitam boleh membuatkan mereka bosan.

“Kita guru terutama di sekolah menengah mesti banyak langkah daripada murid kerana mereka ada komputer dan siberkafe di rumah untuk melayari internet dan guru yang masih menggunakan buku teks sahaja akan tetap berada di takuk lama,” katanya.

Beliau turut menegaskan para pendidik tidak seharusnya sekadar ‘mengajar’ tetapi perlu juga menanyakan soalan kepada pelajar bagi mengetahui sama ada pelajar memahami apa yang diajar.

GANJARAN

Dalam pada itu, beliau menyeru agar guru mahupun guru besar tidak hanya memandang kepada ganjaran semata-mata sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan prestasi pelajar selaras usaha kementerian melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Ini sejajar dengan usaha Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Menurut Noor Rezan, kementerian mensasarkan 30 SBT pada tahun depan manakala tumpuan tetap diberikan kepada semua sekolah bagi meningkatkan pencapaian di sekolah yang belum cemerlang.

Bagi sekolah yang sudah cemerlang, diharapkan peningkatan ini akan naik ke tahap yang lebih tinggi.

Sebelum ini, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata mengikut Indeks Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pelajaran terdapat 20 SBT setakat ini.

Dengan 30 SBT pada tahun depan, jumlah sekolah berprestasi tinggi akan meningkat kepada 50 menjelang 2012.

Muhyiddin juga dilaporkan berkata NKRA kementerian menyasarkan dapat mewujudkan 100 buah SBT.

Pada Januari lepas, Muhyiddin telah mengumumkan 20 SBT yang terdiri daripada 14 sekolah menengah dan enam sekolah rendah di seluruh negara. Daripada 14 sekolah menengah, 10 adalah sekolah berasrama penuh manakala bakinya sekolah menengah harian.

PROGRAM LINUS

Mengenai insentif kepada pengetua dan guru besar yang berjaya mencapai tahap yang lebih tinggi, Noor Rezan berkata ia bukan sahaja untuk kumpulan itu malahan seluruh guru di sekolah tersebut agar mereka bersama-sama berusaha untuk meningkatkan tahap sekolah.

“Kejayaan sesebuah sekolah termasuk guru dan ibu bapa yang menyokong dan mereka yang betul-betul komited layak menerima insentif itu”.

Selain anugerah guru cemerlang, terdapat anugerah lain yang boleh diberikan seperti guru inovatif, biasiswa melanjutkan pelajaran, peluang berkursus ke luar negara dan kenaikan pangkat kepada guru yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang.

Mengenai Program Penyaringan Literasi dan Numerasi (LINUS), Noor Rezan berkata program itu dilaksanakan bagi memastikan semua pelajar menguasai asas kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun pertama pendidikan sekolah rendah.

Katanya, setiap guru besar perlu memantau perkembangan program itu selain mengetahui keputusan jumlah murid tidak pandai membaca, menulis dan mengira menurun atau tidak.

Menurut Noor Rezan bagi melaksanakan program itu, Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM400 juta untuk tempoh tiga tahun iaitu 2010-2012 bagi memberi tumpuan kepada intervensi awal dengan menempatkan fasilitator dan guru pemulihan terlatih di sekolah.

“Sehingga kini, seramai 15,500 fasilitator dan guru pemulihan telahpun dilatih,” katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: