jump to navigation

PDRM Cadang Bina Pusat Latihan Polis Di Setiap Negeri 6 August 2010

Posted by admin in Akademik, kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah pusat latihan atau maktab polis di setiap negeri bagi melahirkan warga polis yang lebih kompeten, berilmu dan berdaya saing.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata anggota dan pegawai polis perlu diberi latihan yang mencukupi bermula daripada latihan asas kepolisan hinggalah kepada kursus bagi meningkatkan kemahiran ketika dalam perkhidmatan.

“Dalam dunia yang penuh cabaran dan dengan adaptasi yang pantas ini, pegawai-pegawai polis wajib berhijrah minda, berinovasi, kreatif dan berfikir di luar kotak, maka bertitik tolak dari situ kami bercadang untuk menubuhkan pusat latihan di setiap negeri.

“Dengan adanya pusat latihan atau maktab di setiap negeri, pelbagai latihan termasuk latihan dalam perkhidmatan, kursus kerjaya selain latihan-latihan bagi meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan bagi melaksanakan tugas dengan sempurna dan profesional dapat dijalankan dengan lebih efisien,” katanya.

Ismail berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Keganasan) Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Harun pada Majlis Penutupan Program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Sesi 2008/2009 dan Diploma Siswazah Sains Kepolisan Sesi 2009/2010 di Maktab PDRM, Cheras di sini Jumaat.

Beliau berkata PDRM juga bercadang untuk meningkatkan keberkesanan modul latihan dalam usaha menjadikan pusat latihan dan maktabnya sebagai pusat kecemerlangan dan latihan berstatus antarabangsa serta hab ilmu kepolisan, baik di rantau Asean atau di Asia.

Ismail berkata bahagian latihan dan pusat-pusat latihan hendaklah mengambil inisiatif mengadakan hubungan dan kerjasama dengan bahagian latihan dan pusat latihan polis negara serantau seperti negara-negara Asean dan negara-negara lain di dunia.

“Pengantarabangsaan dilihat sebagai perkara penting untuk PDRM…pertukaran idea, penemuan baru dan strategi kontemporari dalam ilmu kepolisan di seluruh Asean contohnya dapat dikongsi bersama. Dengan ini akan meningkatkan daya saing, kualiti dan perancangan masa hadapan PDRM khususnya.

“Bagaimanapun bukan mudah untuk mencapai status itu, untuk itu PDRM perlu melengkapkan ilmu pengetahuan dengan meningkatkan nilai tambah keupayaan pengetahuan, tadbir urus yang baik, pembangunan modal insan bersepadu dan penghijrahan minda,” katanya.

Beliau berkata lawatan, pertukaran idea dan maklumat serta kerjasama dalam perkongsian ilmu kepolisan juga perlu dipertingkat dan diperbanyakkan termasuk penyelidikan, kajian dan memorandum persefahaman (MoU) di antara negara.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 18 graduan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan 44 graduan Diploma Siswazah Sains Kepolisan yang terdiri daripada anggota dan pegawai polis di seluruh negara menerima sijil masing-masing daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: