jump to navigation

Graduan UiTM Berpeluang Lanjut Pelajaran Ke Oxford, Harvard 6 August 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos (Bernama) — Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mencatat kelulusan kelas pertama Ijazah Sarjana Muda bakal ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di universiti ternama dunia.

Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Ir Prof Sahol Hamid Abu Bakar berkata seramai 25 pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dengan nilai gred mata (GPA) 3.75 ke atas setiap tahun bakal menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) menerusi program ‘Meletak Melayu dalam Peta Dunia’.

“Kumpulan graduan pertama yang terpilih untuk mengikuti pengajian di unversiti ternama dunia seperti Oxford, Harvard, Cambridge, Yale dan yang terkemuka di beberapa negara lagi akan diumumkan November ini,” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Katanya UiTM telah berbincang dengan universiti-universiti berkenaan berhubung penempatan graduan dari 25 jurusan yang ditawarkan universiti itu.

Menurut beliau, graduan terpilih akan disyaratkan bekerja dengan universiti itu selama tujuh tahun sebaik menghabiskan pengajian.

“Biasiswa untuk projek khas ini dibiayai pihak universiti. UiTM akan pilih kursus dan tempat pengajian yang sesuai untuk graduan yang terpilih ini,” katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan Seminar Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa 2010 di sini, yang disertai pensyarah dan graduan Sarjana dan PhD dari pelbagai negara.

Seminar anjuran UiTM itu antara lain membincangkan berhubung sistem kewangan Islam yang terkenal di negara ini yang menarik minat negara bukan Islam untuk turut mendalaminya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: