jump to navigation

Kementerian Pelajaran Mahu Ganda Pelajar Ikuti Bidang Vokasional 5 August 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

SUNGAI SIPUT, 5 Ogos (Bernama) — Kementerian Pelajaran akan memperluaskan skop pembelajaran bidang vokasional bagi menggandakan bilangan pelajar bidang tersebut daripada 10 peratus kepada 20 peratus atau lebih dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata melalui perluasan skop berkenaan, bidang vokasional bukan lagi akan menjadi bidang kedua tetapi menjadi bidang pilihan dalam sistem pembelajaran negara.

“Sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran telah dibentuk bagi mengkaji untuk memperluaskan skop bidang pendidikan vokasional,” katanya berucap pada majlis ramah mesra bersama warga pendidik daerah Kuala Kangsar di sini pada Khamis.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata bidang vokasional akan melahirkan tenaga kerja berkemahiran berbanding 80 peratus tenaga kerja negara sekarang yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mempunyai kemahiran.

Melalui perluasan skop itu, pelajar yang memilih bidang vokasional akan turut berpeluang melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, usaha berkenaan bagaimanapun akan memerlukan dana yang besar dan sokongan daripada semua pihak.

Beliau berkata di negara-negara maju, bidang vokasional diberikan perhatian seperti di Perancis yang 40 peratus pelajarnya mengambil bidang itu dan bidang itu turut diberikan tumpuan di Indonesia bagi memastikan pelajar mempunyai kemahiran yang bukan sahaja akan memudahkan mereka mencari pekerjaan tetapi mampu menjalankan pekerjaan sendiri.

Muhyiddin berkata langkah meramaikan pelajar bidang vokasional penting kerana tenaga kerja berkemahiran tinggi merupakan komponen terpenting dalam Model Ekonomi Baru (MBE) yang hendak dilaksanakan kerajaan.

“Saya bukan hendak merendah-rendahkan tetapi pekerja kita tidak ada kemahiran lain. Sijil sahaja tetapi tidak ada kemahiran,” katanya.

Mengenai kebenaran pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogops lepas, Muhyiddin berkata kementerian akan memberi penjelasan mengenai kekeliruan yang timbul berhubung langkah itu.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: