jump to navigation

Mulai 1 Sept, Hanya Mereka Miliki Ijazah Diterima Untuk Jawatan Pegawai ATM 1 August 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Selaras dengan usaha permodenan Kementerian Pertahanan, mulai 1 September ini, kementerian itu akan hanya menerima permohonan daripada mereka yang mempunyai ijazah bagi jawatan pegawai dalam ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu darat, laut dan udara.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ATM memerlukan pegawai yang mempunyai latar belakang akademik yang baik, terutama dalam bidang sains dan teknologi untuk mengendalikan peralatan tersebut memandangkan pasukan itu kini memulakan usaha memodenisasikan penggunaan peralatan tentera yang canggih dan berteknologi tinggi.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program merakyatkan seni budaya bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) sempena Bulan Kemerdekaan di sini, beliau berkata selaras dengan peraturan baru itu, skim jawatan pegawai ATM juga akan disesuaikan berdasarkan dengan kelayakan akademik mereka.

Mereka yang memiliki ijazah itu juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah setelah berkhidmat dengan ATM berdasarkan jika mereka layak setelah menduduki peperiksaan yang ditentukan, tambahnya.

Selain itu, Ahmad Zahid juga berharap lebih ramai bukan Bumiputera memohon untuk berkhidmat dengan ATM kerana berdasarkan statistik penglibatan bukan Bumiputera dalam bidang ketenteraan amat rendah.

“Kita harap dengan peningkatan gaji untuk pegawai-pegawai serta peningkatan kelayakan ini, diharapkan lebih ramai bukan Bumiputera akan menyertai ATM,” kata Ahmad Zahid.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: