jump to navigation

Najib Seru Generasi Muda Manfaatkan Sepenuhnya Kemudahan Pendidikan Untuk Berjaya 31 July 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu menggesa generasi muda negara ini supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan kerajaan untuk maju dalam pelajaran dan seterusnya mencapai cita-cita mereka.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan mengatur bermacam-macam rancangan lain untuk memudahkan mereka mencapai matlamat dan impian masing-masing.

Kata beliau inisiatif yang dimaksudkan termasuk pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Keputusan telah dibuat bahawa — tidak kira Melayu, Cina, India atau daripada mana-mana kumpulan etnik – semua pelajar layak mendapat biasiswa sekiranya anda mendapat 9A+ atau lebih.

“Kerajaan ini akan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat di mana saja dan saya yakin anda akan bersetuju dengan saya bahawa peluang berdasarkan merit ini menunjukkan saya dan rakan-rakan saya benar-benar serius dalam melaksanakan transformasi, sejajar dengan konsep 1Malaysia,” kata Najib dalam blog beliau http://www.1malaysia.com.my.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata prinsip meritokrasi ini perlu dilaksanakan sejajar dengan prinsip keadilan sosial dan para pelajar yang mendapat keputusan kurang daripada 9A+ kerana kurang bernasib baik daripada segi sosioekonomi, juga akan dibantu untuk melanjutkan pelajaran.

“Sebagai contoh, seseorang pelajar yang hidup dalam keadaan miskin di kawasan yang ternyata kurang beruntung, tetapi berupaya memperoleh keputusan cemerlang walaupun terpaksa menghadapi keadaan yang serba kekurangan itu.

“Oleh kerana dia mempamerkan ketekunan dan semangat yang begitu tabah dalam menghadapi keadaan mencabar itu, maka pelajar ini wajar dibantu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Sebab itulah, beberapa bulan lepas, saya menyaksikan beberapa geran diberi kepada pelajar yang tinggal di Tumpat, Long Banga, Kanowit, Brickfields dan Putrajaya, sekadar menyebut beberapa contoh,” katanya.

Beberapa inisiatif lain juga akan dilaksanakan, yang menurut Najib, akan beliau teliti secara peribadi.

Perdana Menteri berkata penjimatan hasil daripada langkah penyusunan semula subsidi baru-baru ini juga akan disalurkan ke arah penyediaan lebih banyak peluang pendidikan.

“Kepada pembaca muda yang mengikuti tulisan ini: ambillah peluang keemasan ini untuk berjaya. Ini merupakan manifesto yng jelas bahawa kami bersedia membantu anda. Kami mahu anda berjaya,” katanya.

Najib menulis: “Kami telah mendengar keperluan anda dan permintaan oleh ibu bapa anda melalui blog ini dan telah membuka laluan yang jelas untuk anda maju dalam bidang akademik. Saya menggesa anda supaya mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mencapai impian anda.”

Najib juga menyeru ibu bapa dan guru supaya “membimbing serta menggesa golongan muda kita agar memberi fokus terhadap usaha mencapai cita-cita mereka melalui usaha secara tekun.”

“Peringatkan mereka bahawa mereka akan diberi ganjaran sekiranya mendapat gred yang tinggi dan jangan biarkan mereka lemah semangat. Pendidikan mereka bermula di rumah,” tulis beliau.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: