jump to navigation

Tambah Kaunselor Di IPTA Dan IPTS Atasi Masalah Sosial 24 July 2010

Posted by admin in kerjaya.
trackback

BANGI, 24 Julai (Bernama) — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengusulkan isu penambahan kaunselor di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kepada Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengatasi masalah pembuangan bayi yang semakin kritikal.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata bilangan pelajar di setiap universiti yang ramai adalah tidak seimbang dengan bilangan kaunselor yang dilantik di setiap universiti, jadi kita ingin minta kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk mempertimbangkan isu tersebut.

“Ini adalah satu inisiatif untuk membimbing mereka dalam masalah sosial dari peringkat awal.

“Di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) sahaja terdapat lebih kurang 28,000 pelajar, jadi bilangan kaunselor yang sedia ada, adalah tidak mencukupi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kami Prihatin di sini pada Sabtu.

Beliau berkata selain jawatan kaunselor ini diwujudkan di bangunan canselori, sudah tiba masanya jawatan-jawatan ini juga diwujudkan di kolej-kolej kediaman bagi menampung keperluan.

Menurut beliau berdasarkan statistik kes yang dilaporkan mulai 2005 ialah 47, 2006 (83), 2007 (79), 2008 (102) dan 2009 sebanyak 79 kes.

“Tahun ini pula dari Januari sehingga Julai, sebanyak 38 kes telah dilaporkan, dan ini adalah sangat serius jika dibandingkan dengan statistik tahun-tahun yang lalu, justeru usaha dari kementerian, kerajaan dan NGO sahaja tidak mencukupi, kita perlukan cara alternatif dan saya rasa bimbingan awal dari kaunselor dan juga pengaruh rakan sebaya memainkan peranan penting,” katanya.

Shahrizat juga berkata program ‘Juara Sebaya’ juga akan diwujudkan di semua IPTA dan IPTS di seluruh negara dalam masa yang terdekat membabitkan kira-kira 105,337 pelajar baru.

Beliau berkata kementerian berharap agar mereka (pelajar) akan dapat membantu kerajaan dalam misi membanteras masalah pembuangan bayi ini, yang rata-ratanya berlaku di kalangan remaja sendiri.

Terdahulu, Shahrizat merasmikan ‘Program Kami Prihatin’, yang melibatkan kerjasama pintar dari pihak kementerian, Astro, Utusan Malaysia dan Karyawan sebagai usaha memupuk kesedaran di kalangan remaja tentang gejala sosial yang melibatkan mereka.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: