jump to navigation

Pendidikan Vokasional Akan Dijenamakan Semula 22 July 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KANGAR, 22 Julai (Bernama) — Pendidikan vokasional akan dijenamakan semula bagi melahirkan lebih banyak tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi pada Khamis.

Beliau berkata Bahagian Pendidikan Vokasional dan Teknik kementerian telah menyiapkan kajian mengenainya dan akan dibentang pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pelajaran akan datang.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah kecemerlangan pelajar kali ke-21 Sekolah Menengah Vokasional Arau di sini hari ini, beliau berkata melalui penjenamaan semula itu, sebanyak 62 buah sekolah menengah teknik di seluruh negara dicadangkan ditukar kepada sekolah menengah vokasional.

Kerajaan hanya akan mengekalkan 26 buah sekolah menengah teknik di seluruh negara, katanya.

Beliau berkata di bawah penjenamaan itu, sebanyak 70 peratus daripada sistem pengajian akan bertumpu kepada bidang kemahiran vokasional manakala hanya 30 peratus bidang akademik.

Ini berbeza daripada amalan sekarang iaitu 45 peratus pengajian bertumpu kepada kemahiran vokasional manakala 55 peratus lagi adalah akademik.

Katanya, kementerian juga akan memperkenalkan sistem latihan sambil kerja (OJT) untuk pelajar vokasional dengan kerjasama pihak industri dan menurutnya jumlah masa untuk OJT akan ditentukan kemudian.

Berikutan itu, katanya kementerian akan melatih lebih banyak guru vokasional termasuk menggalakkan penyertaan mereka yang berpengalaman dan berkemahiran untuk memasuki institut-institut pendidikan guru.

Mengenai kemungkinan sekolah menengah vokasional akan membuat pengambilan pelajar tingkatan satu, Mohd Puad berkata, setakat ini pengambilannya kekal bermula pada tingkatan empat.

Mengenai kes seorang murid sebuah sekolah rendah di kawasan Guar Sanji, di sini mendakwa dicabul gurunya dua hari lalu, Menteri itu berkata kes itu sedang disiasat polis dan sebarang tindakan bergantung hasil siasatan itu.

Dalam kejadian itu, murid darjah satu itu mendakwa dicium pada pipi kirinya di sebalik pintu ketika dipanggil masuk ke sebuah bilik kemahiran hidup sekolah itu oleh guru lelaki itu.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: