jump to navigation

Penglibatan Industri Dan Penguasaan Bahasa Aspek Tranformasi Dalam Pendidikan 17 July 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

SHAH ALAM, 17 Julai (Bernama) — Penglibatan industri dan penguasaan lebih daripada satu bahasa merupakan aspek penting yang perlu diberi penekanan dalam usaha melakukan transformasi dalam bidang pendidikan, kata Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Beliau berkata sebagai contoh, UiTM masih berada di peringkat tertinggi dari segi kebolehpasaran graduan berikutan universiti itu menekankan penglibatan industri dalam program pembelajarannya.

“Di UiTM, 40 peratus kokurikulum kami adalah industri dan 60 peratus dari UiTM. Kami juga sekarang amalkan konsep bahawa pensyarah UiTM perlu diberi latihan dalam industri supaya pelajar kita tidak tercicir dalam pasaran pekerjaaan.

“Kalau tidak kita tidak dapat memenuhi RMK-10, jadi kita perlu pekerja mahir dan pekerja yang boleh fikir. Uitm ada kedua-duanya sekali, pelajar kami boleh fikir dan dari segi penggunaan bahasa mereka tinggi dan ini menyebabkan kita diterima oleh pasaran, ” katanya pada Forum Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) Siri 4 bertajuk “Pendidikan Tranformasi Negara” yang disiarkan secara langsung di TV1 Jumaat malam.

Prof Sahol Hamid berkata tranformasi pendidikan juga perlu bermula dari prasekolah dan dari segi teknik pengajaran.

“Sebab itu bila isu cadangan pemansuhan UPSR dan PMR timbul, ia menunjukkan transformasi di mana teknik pengajaran dan pemikiran akan berubah. Kita nak pelajar yang kreatif, pelajar yang boleh berfikir, pelajar yang fasih dua atau tiga bahasa, barulah mereka boleh bawa negara lebih jauh,” katanya.

Selain itu, Sahol Hamid berkata untuk melakukan transformasi dalam pendidikan, orang Melayu perlu bersatu sesama mereka dan juga bersatu dengan bangsa lain.

Mengenai persoalan bagaimana UiTM menerapkan konsep 1Malaysia di dalam pembelajarannya memandangkan universiti itu hanya terbuka untuk Bumiputera dan orang Melayu, beliau berkata sejak konsep itu diwujudkan UiTM telah mengadakan pelbagai program yang membolehkan pelajarnya berinteraksi dengan bangsa lain.

“Di UiTM juga ada pensyarah dari bangsa lain, pelbagai bangsa. UiTM telah mainkan peranan sejak wujudnya konsep 1Malaysia. Bila sebut 1Malaysia, jangan lupa ia berdasarkan perlembagaan dan dalam perlembagaan UiTM, UiTM hanya tetap untuk bumiputera dan orang Melayu,” katanya.

Sementara itu pada forum yang sama, pensyarah Lead Academy Dr Hoo Ke Ping berkata kekuatan ekonomi penting untuk melakukan transformasi dalam pendidikan di negara ini.

Beliau yang juga penganalisis ekonomi turut mencadangkan bahawa untuk memulakan transformasi pendidikan di negara ini, kerajaan perlu menapis kebanjiran Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang lebih mementingkan perniagaan daripada pendidikan.

“Banyak IPTS salah guna lesen mereka, jadi kerajaan mesti tapis dan jangan benarkan mereka buat bisnes sampai jauh ke negara-negara lain. Ini satu transformsi yang besar sekali, pendidikan bukan bisnes,” katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: