jump to navigation

UNIKL Tawar Program Untuk Jadi Jurutera Antarabangsa 15 July 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

SEPANG, 15 Julai (Bernama) — Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) menawarkan Program Profesional EASA Part 66 yang membolehkan pelajarnya memperoleh lesen jurutera antarabangsa dan berkhidmat di mana-mana negara di dunia.

Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh berkata program itu diadakan bagi melahirkan jurutera penyenggaraan pesawat yang bakal memenuhi keperluan dan kehendak industri penyenggaraan pesawat yang masih lagi kekurangan jurutera terlatih.

“UniKL adalah satu-satunya pusat latihan di Malaysia yang diluluskan oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) bagi program ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu di Dengkil dekat sini Khamis.

Pelancaran program itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan Canselor UniKL. Turut hadir Pengerusi UniKL Datuk Dr Adham Baba dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL Datuk Dr Abdul Hakim Juri.

Idris berkata graduan program itu yang telah menimba pengalaman bekerja dalam bidang penerbangan sekurang-kurangnya selama dua tahun boleh memohon Lesen Jurutera Penyenggaraan Pesawat daripada pihak berkuasa penerbangan awam United Kingdom iaitu Civil Aviation Authority UK (CAA-UK), yang seterusnya mendapat pengiktirafan lesen jurutera antarabangsa daripada EASA.

UniKL, anak syarikat milik penuh Mara, menawarkan program itu pertengahan 2008 dengan kerjasama pembekal teknologi dari Jerman, Aero Bildung GmbH. Seramai 37 pelajar kumpulan pertama dan kedua dijangka menamatkan pengajian Februari tahun depan.

Program Profesional EASA Part 66 dijalankan selama dua tahun dengan kos sebanyak RM80,000, berbanding lebih RM100,000 jika kursus itu diambil di luar negara.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: