jump to navigation

Semua Pelajar Cemerlang Layak Terima Biasiswa JPA, Kata PM 10 July 2010

Posted by admin in Biasiswa/Pinjaman.
trackback

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak menerima biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Beliau berkata tawaran biasiswa itu melibatkan semua kaum yang ingin meneruskan pengajian tinggi sama ada di dalam atau di luar negara.

“Setiap pelajar tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain yang mendapat keputusan 9A+ layak mendapat biasiswa JPA sama ada dalam atau luar negara,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata dengan peluang yang diberikan ini menunjukkan bahawa kerajaan serius melaksanakan transformasi selaras dengan gagasan 1Malaysia.

“Ini menunjukkan (gagasan) 1Malaysia bukan hanya satu slogan tetapi ia dijadikan amalan di Malaysia,” katanya.

Najib berkata sejumlah 2,304 pelajar keturunan India mendaftar untuk mengikuti kursus pengajian masing-masing di universiti-universiti awam negara.

Menurut Perdana Menteri, sejumlah 4,541 pelajar India memohon untuk mengikuti pengajian dan 2,499 pelajar layak.

“Kira-kira 92.9 peratus pelajar India yang layak telah ditawarkan tempat di universiti-universiti awam di negara ini.

“Ini satu manifesto nyata bahawa kami (kerajaan Barisan Nasional) ada di sini untuk membantu anda, bersama-sama membantu masyarakat bergerak ke hadapan. Inilah janji BN untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju dan negara berpendapatan tinggi,” kata Najib.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: