jump to navigation

Empat Kriteria Utama Bagi Tawaran Biasiswa JPA – Muhyiddin 7 July 2010

Posted by admin in Biasiswa/Pinjaman.
trackback

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) — Tawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) tahun ini dibuat berdasarkan empat kriteria utama bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kriteria tersebut adalah pencapaian akademik, penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum, sosio ekonomi keluarga pemohon dan prestasi temuduga.

Dalam kenyataan Selasa, katanya, kerajaan menyediakan 1,750 biasiswa JPA untuk program penajaan PILN bagi lepasan SPM 2009 yang memperolehi keputusan cemerlang dalam sembilan mata pelajaran.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata JPA telah menerima sebanyak 18,844 permohonan daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,956 pemohon telah melepasi kelayakan minimum yang ditetapkan mengikut bidang pengajian.

Katanya kursus perubatan dan kejuruteraan menjadi pilihan manakala negara pengajian pilihan majoriti calon ialah United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand.

Beliau berkata sebanyak 847 tempat disediakan bagi kursus kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi di pelbagai negara seperti Australia, New Zealand, India, Republik Czech dan Poland.

Manakala program berkembar pula di Kolej Perubatan Pulau Pinang, Kolej Perubatan Manipal Melaka dan Universiti Perubatan Antarabangsa manakala 410 tempat pula disediakan bagi kursus kejuruteraan di Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

Semasa keputusan PILN diumumkan pada 21 Mei lepas, seramai 59 pelajar telah menolak tawaran biasiswa JPA manakala 4,298 rayuan diterima di mana sebanyak 1,218 rayuan terdiri daripada calon yang mendapat 9A+, katanya.

Daripada jumlah penajaan itu, seramai 971 orang adalah Bumiputera manakala 779 pula bukan Bumiputera.

Muhyiddin berkata kerajaan meneruskan penajaan biasiswa JPA itu dengan dengan memberi fokus kepada bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, sains perubatan veterinar, kejuruteraan , sains dan teknologi dan sains sosial.

“Ini kerana tenaga sumber manusia dalam bidang tersebut amat diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara,” katanya.

Bagi Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) pula, sebanyak 100 penajaan disediakan kepada lepasan SPM bagi mengikuti pengajian di empat buah universiti penyelidikan iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Di samping itu, katanya, sebanyak 1,900 penajaan telah ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang tidak terpilih di bawah PILN untuk mengikuti pengajian ke IPT tempatan dan kampus cawangan terpilih seperti Universiti Nottingham dan Universiti Monash dalam bidang kritikal dan strategik.

Beliau berkata pelajar terpilih akan ditaja di peringkat matrikulasi, asasi, pra-universiti dan seterusnya ke peringkat ijazah pertama sekiranya melepasi syarat akademik yang ditetapkan semasa di peringkat kursus persediaan.

Bilangan pelajar yang ditawarkan penajaan untuk kedua-dua program termasuk pemohon yang mendapat sekurang-kurangnya A+ dalam sembilan mata pelajaran, katanya.

Muhyiddin berkata bagi menampung kos pengajian pelajar seramai 3,750 pelajar, kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.96 bilion pada tahun ini.

Bagi pelajar lepasan SPM yang tidak ditawarkan sebarang penajaan di bawah PILN, mereka masih berpeluang memohon penajaan di bawah PIDN sekiranya ditawarkan tempat di peringkat diploma atau Ijazah Pertama di IPT tempatan.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: