jump to navigation

Universiti Swasta Digalak Tawar Pengajian Optometri, Audiologi Dan Psikologi Pertuturan 29 June 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUANTAN, 29 Jun (Bernama) — Universiti swasta digalak menawarkan pengajian dalam bidang optometri, audiologi dan psikologi pertuturan bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang berkenaan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pendidikan Tinggi) Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Dr Rujhan Mustaffa.

Beliau berkata negara kini hanya memiliki lebih kurang 1,100 pakar dalam ketiga-tiga bidang itu sedangkan keperluan sebenar adalah 6,000.

Beliau berkata walaupun ketiga-tiga bidang pengajian itu masih baru di Malaysia, beliau berharap universiti-universiti swasta sanggup melabur dalam bidang itu sekalipun ia menelan kos yang tinggi terutama dari segi penyediaan alatan pembelajaran.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Klinik Pendengaran dan Pertuturan dan Klinik Optometri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini Selasa.

Kedua-dua klinik yang terletak di Kampus Jalan Hospital di sini yang merupakan pusat pembelajaran UIAM dan pada masa sama memberikan perkhidmatan dan rawatan kepada orang ramai adalah klinik pertama seumpamanya di Pantai Timur.

Dr Rujhan berkata klinik-klinik tersebut akan memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan berkaitan dengan kos yang jauh lebih murah berbanding klinik komersial.

Sementara itu, Dekan Kuliah Sains Kesihatan Bersekutu UIAM Kuantan, Prof Madya Dr Nik Mazlan Mamat berkata Klinik Pendengaran dan Pertuturan menawarkan perkhidmatan audiologikal dan perkhidmatan terapi bahasa pertuturan yang meliputi penilaian, rawatan dan pengurusan pendengaran dan masalah keseimbangan pendengaran.

“Klinik Optometri pula menawarkan pemeriksaan penjagaan mata selain menyediakan kemudahan optometri seperti kanta lekap, masalah rabun, masalah warna dan sebagainya,” katanya.

Sumber:  BERNAMA

%d bloggers like this: