jump to navigation

10,000 tenaga mahir GiatMara 24 June 2010

Posted by admin in Akademik, kerjaya.
trackback
Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

RAUB 23 Jun – Pusat GiatMara menyasarkan 10,000 pekerja mahir dapat dilahirkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Pengerusinya, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, bagi mencapai sasaran itu, sekurang-kurangnya 2,000 pelatih berkemahiran tinggi perlu dilahirkan setiap tahun oleh pusat tersebut mulai tahun depan.

Sehingga kini kata beliau, lebih 220,000 belia sedang mengikuti pelbagai kursus dan latihan di 209 pusat latihan GiatMara di seluruh negara.

‘‘Sebahagian besar yang sedang mengikuti kursus dan latihan di GiatMara ialah belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

‘‘Mereka mengikuti pelbagai kursus seperti mekanik, pendawaian elektrik, membaiki radio dan televisyen, pendingin hawa, kimpalan, automotif, mengecat kereta, pertukangan perahu layar, jahitan, membuat kek, masakan dan solekan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan pidato peringkat daerah anjuran UMNO Bahagian Raub di sini hari ini.

Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, pihaknya sedang mengkaji kemungkinan menambah beberapa kursus baru di pusat GiatMara termasuk pemandu pelancong, perhotelan dan pentadbiran awam.

Beliau berharap melalui kursus tersebut, GiatMara dapat melahirkan golongan belia yang berkelayakan sesuai dengan perkembangan semasa bagi memenuhi tuntutan kerjaya yang diperlukan oleh industri.

Dalam pada itu, menurutnya, peruntukan RM500 juta yang diluluskan kerajaan kepada GiatMara dalam RMK-10 akan dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan pusat latihan itu.

“Daripada peruntukan itu, 45 peratus akan dibelanjakan bagi bayaran elaun pelatih manakala selebihnya bagi meningkatkan kursus, latihan dan prasarana pusat latihan GiatMara serta membayar sewa bangunan.

“Sebahagian besar bangunan GiatMara merupakan bangunan lama kerajaan, balai raya atau menyewa bangunan kedai swasta,” ujarnya.

Shahiruddin berkata, setiap daerah di negara ini memiliki Pusat GiatMara yang memberi peluang kepada belia dan remaja lepasan sekolah mendapat latihan serta kemahiran bagi menjamin masa depan mereka.

Beliau berharap melalui kursus dan latihan yang diberikan itu, mampu melahirkan tenaga kerja berkualiti, berkemahiran dan berpendapatan tinggi sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: