jump to navigation

AP Land, HELP terokai industri pendidikan di China 19 June 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

KUALA LUMPUR 17 Jun – Syarikat hartanah Asia Pasific Land Bhd. (AP Land) hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan HELP International Corp. Bhd. (HELP) bagi menerokai industri pendidikan di China.

Kedua-dua syarikat berkenaan menubuhkan syarikat usaha sama dengan pegangan ekuiti seimbang bagi membina sebuah pusat latihan di bandar Changsu, China.

Menurut Pengarah Urusan Bersama AP Land Berhad, Low Gee Tong, pusat latihan itu sedang dibina di tapak seluas 6,000 meter persegi dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos ini.

“Pusat latihan itu merupakan salah satu projek yang dijalankan di kawasan komersial seluas 122 kilometer persegi yang dibangunkan oleh AP Land,” katanya pada sidang akhbar pada majlis pengumuman projek berkenaan.

Tong berkata, pusat latihan berkenaan dijangka beroperasi pada Oktober ini akan memberi tumpuan pada aspek vokasional dan Bahasa Inggeris dalam bidang terpilih.

“Untuk tahun pertama, kami menyasarkan seramai 500 orang pelajar tempatan dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata, bandar Changsu mempunyai prospek ekonomi yang besar kerana pembangunan di sana sedang rancak berjalan serta disokong dengan kapasiti penduduk sehingga dua juta orang.

Katanya, syarikat pengeluar kereta Toyota juga dikatakan sedang merancang untuk membangunkan kilangnya bersebelahan dengan tanah milik AP Land tersebut.

“Ini juga akan membantu meningkatkan nilai hartanah di kawasan berkenaan selain dikelilingi dengan pelbagai kilang industri ringan milik syarikat multinasional dunia,” katannya.

Tambah Tong, kos bagi pembangunan kawasan komersial di Changsu melibatkan tiga fasa dan dijangka menelan belanja sehingga RM500 juta.

“Fasa satu yang turut menempatkan pusat latihan melibatkan pelaburan bernilai RM250 juta manakala fasa dua dijangka siap dalam masa dua tahun dengan kos yang sama.

“Projek fasa tiga masih belum ditentukan tarikhnya dijangka memerlukan tambahan pelaburan sebanyak RM300 juta,” katanya.

Selain itu, kedua-dua syarikat berkenaan turut bekerjasama dalam dua projek lain iaitu melibatkan pembinaan kampus baru Kolej Victoria di Bandar Tasik Puteri dan pusat latihan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: