jump to navigation

Kolej automotif dirancang 18 June 2010

Posted by admin in Akademik.
trackback

JOHOR BAHRU 16 Jun – Mutiara Motors merancang untuk membina sebuah kolej automotif yang pertama seumpamanya di negara ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Ahmad Kemin berkata, kolej yang akan dibangunkan dengan kerjasama sebuah kolej automotif dari Jepun, Nihon Automobile College itu akan memberi ruang kepada golongan yang berminat mendalami ilmu kejuruteraan automotif dan permotoran.

“Kolej ini nanti akan mempunyai litar lumba kereta dan menawarkan kursus pengurusan perniagaan automotif, pengurusan pusat servis, kejuruteraan, reka bentuk, enjin dan elektronik serta kursus memandu kereta lumba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran M7 Racing dan perasmian Pusat Penyelidikan dan Pembangunan M7 di Bangunan Mutiara Motors, Larkin di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan.

Ahmad berkata, tenaga pengajar kolej itu juga akan terdiri daripada pensyarah dari Nihon Automobile College.

“Kita juga merancang mengadakan pertukaran pelajar dengan kolej berkenaan,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri dapat memperuntukkan sebidang tanah kepada Mutiara Motors untuk merealisasikan pembinaan kolej berkenaan.

Ahmad memberitahu, beliau turut mewujudkan sebuah galeri mini Mutiara Motors di tingkat dua bangunan berkenaan.

Menurutnya, galeri itu mempamerkan sejarah Mutiara Motors dan koleksi peribadinya.

“Saya berharap galeri ini akan menjadi bahan kajian dan pencetus semangat kepada generasi muda yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan,” katanya.

Mutiara Motors yang ditubuhkan pada 1982 kini merupakan antara syarikat pengimport dan pengedar kenderaan milik bumiputera yang berjaya dan terkemuka di negara ini termasuk kini melibatkan diri dalam perlumbaan Japan Super GT.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: