jump to navigation

Kadet terbaik diserap ke ATM 13 June 2010

Posted by admin in Akademik, kerjaya.
trackback

PULAU PINANG 12 Jun – Kementerian Pertahanan akan menawarkan tempat kepada pegawai kadet terbaik Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dari setiap universiti untuk diserap ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pegawai tetap mulai tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon yang terpilih itu akan mengikuti Skim Pegawai Graduan ATM sedia ada dengan tempoh latihan dipendekkan.

“Langkah ini akan membolehkan ATM memperoleh calon daripada kalangan lulusan universiti sekali gus melahirkan pegawai tentera berkualiti sejajar usaha pasukan yang merancang perubahan dasar selaras dengan kemajuan negara.

“Pada masa sama, ATM juga menyasarkan setiap pegawainya memiliki kelulusan minimum ijazah sarjana muda bagi memperkukuhkan pengetahuan dan kepercayaan masyarakat selain mempunyai pelbagai kemahiran,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan dengan warga Palapes institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes IPTA Ke-29 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, semua pegawai kadet Palapes yang melapor diri dan aktif di dalam pasukan simpanan ATM akan berpeluang dinaikkan pangkat lebih cepat berbanding sebelum ini.

“Pada masa sekarang mereka ini berpangkat Leftenan Muda tetapi jika mereka memilih untuk menyertai pasukan simpanan ATM, kita akan pertimbangkan kenaikan pangkat sekurang-kurangnya leftenan atau setaraf,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: